KOTA BHARU - Lewat menyambung pelajaran bukan halangan untuk Iffah Nabihah Abdullah, 23, dinobatkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan Politeknik Kota Bharu sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke-35 pada Jumaat.
Anak kepada pasangan pembuat batik, Azman Senik, 45, dan Rosnita Kasim, 46, itu menerima Anugerah Terbaik Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam dan Anugerah Pengarah.
Pelajar yang mengambil jurusan Diploma Ukur Bahan itu mengakui, banyak bertanya pensyarah mengenai mata pelajaran yang tidak difahami.
"Saya tidak berasa rugi kerana menyambung pelajaran agak lewat daripada rakan lain kerana mendapat lebih banyak pengalaman.
"Saya bekerja selama setahun dan selepas itu menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah tersebut.
Anak sulung daripada lima beradik itu juga bersyukur kerana dikelilingi rakan dan pensyarah yang sentiasa membantu untuk mendapatkan rujukan.
Iffah Nabihah yang memperoleh gred purata 3.68 itu bercita-cita menjadi juru ukur bahan dan bercadang menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Sementara itu, Pengarah PKB,Rosli Idris berkata, gred pencapaian tahun ini meningkat iaitu 90.43 peratus berbanding sebelumnya iaitu 76.43 peratus.
Katanya, berdasarkan rekod hanya 1.98 peratus daripada 1,449 penuntut PKB yang tamat pengajian tahun ini belum bekerja.
"Bagi mereka yang sudah atau akan memasuki alam pekerjaan perlu menyiapkan diri dalam konteks mental dan fizikal bagi memenuhi keperluan majikan," katanya.