Kerajaan tidak ada kuasa larang merokok dalam kenderaan

Iklan
Dr Lee Boon Chye - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk melarang perbuatan merokok di dalam kenderaan persendirian, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata kenderaan persendirian adalah ruang peribadi seseorang dan ia tidak boleh diganggu.

Iklan
Iklan

"Merokok dalam kereta itu kawasan persendirian, kita tidak boleh ganggulah melainkan kalau perokok (merokok) dalam kenderaan awam kerana ia berada di bawah peraturan sedia ada dan ia memang kawasan larangan merokok.

"Kalau ibu bapa yang memandu dan dalam kereta ada kanak-kanak sepatutnya (mereka) tidak merokok. Mereka (ibu bapa) patut jaga anak supaya tidak merokok. Kalau dia pandu seorang, itu hak dia untuk dia merokok atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Menanam Pokok ‘Let’s Go Green’ anjuran Yayasan Paru-paru Malaysia (LFM) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di sini, hari ini.

Iklan

Turut hadir Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Pengerusi LFM Datuk Dr Zainudin Md Zain. Dr Lee mengulas kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Mohamed Namazie Ibrahim semalam berhubung cadangannya agar kerajaan mempertimbangkan kempen kesedaran bagi menghalang perbuatan merokok di dalam kenderaan kerana mereka yang melakukan perjalanan dalam satu kumpulan terdedah secara langsung kepada asap rokok basi jika seorang daripada mereka merokok di dalam kenderaan itu.

Katanya, beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Perancis telah menguatkuasakan larangan merokok di dalam kenderaan persendirian, dengan mengenakan denda bagi mereka yang merokok jika ada kanak-kanak atau wanita hamil berhampiran.

Iklan

Sementara itu, Dr Lee berkata sebanyak 22,767 notis amaran telah dikeluarkan kepada premis makanan dan restoran yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok dari 1 Januari hingga 24 Februari di seluruh negara.

Katanya, setakat ini belum ada saman dikeluarkan namun Julai ini kementeriannya akan mula mengeluarkan saman ke atas premis yang melanggar peraturan yang ditetapkan. -Bernama