PEMAIN perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong kini beralih tumpuan kepada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang akan berlangsung dari 16 hingga 24 September ini selepas menarik diri daripada menyertai kejohanan Terbuka Vietnam.
Pemain berusia 22 tahun itu berharap mampu mencipta 'magis' bagi skuad badminton Johor, selepas penampilan kali pertamanya pada edisi 2018 di Perak tidak membuahkan hasil apabila terkeluar seawal pusingan kedua.
Iklan
Iklan
"Saya tarik diri daripada Terbuka Vietnam sebab tidak cukup masa untuk latihan seperti kejohanan yang saya sertai sebelum ini.
"Biasanya saya tiada tekanan ketika menyertai kejohanan tetapi kali ini ada rasa tertekan jadi kena pandai tangani perasaan itu dengan tidak terlalu stres dan lebih fokus kepada satu demi satu perlawanan," katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, pada Jumaat.
Tze Yong memaklumkan dia masih belum pasti sama ada akan terpilih menyertai Terbuka Denmark pada Oktober ini, namun sudah bersedia jika namanya tersenarai mewakili negara pada kejohanan berprestij itu.
Pemain yang kini berada di ranking ke-39 dunia itu, bagaimanapun berkata, masih memerlukan latihan fizikal yang mencukupi bagi memastikan staminanya berada pada tahap terbaik.
"Latihan gim memang kena giatkan lagi untuk tingkatkan stamina sebab sekarang saya rasa tahap terbaik saya antara 60 hingga 70 peratus sahaja," katanya. - Bernama