PERISTIWA terkena tembakan askar komunis dalam Ops Jelaku VI di kawasan Nonok (Asajaya) Sarawak masih segar dalam ingatan veteran tentera Pegawai Waran 1, Ahmad Adnan.
Ahmad, 83, berkata, kawasan Nonok pernah menjadi kawasan hitam yang menyaksikan banyak operasi dijalankan dan salah satunya dinamakan Ops Jelaku VI pada tahun 1973.
"Keadaan lebih memilukan kerana operasi itu turut mengorbankan dua rakan sepasukan yang ditembak musuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Tembak Kluang, Johor, baru-baru ini.
Mengimbau semula kejadian itu, Ahmad berkata, Kompeni Delta Pasukan 3 Rejimen Renjer (kini 3 Rejimen Renjer Diraja) telah diterbangkan dengan helikopter Nuri dari kem Serian ke kawasan operasi pada 4 Oktober 1973.
"Ops Jelaku VI membabitkan sebuah platun dengan kekuatan 24 anggota diketuai Kapten Robert Rizal Abdullah.
"Robert Rizal telah membuat pembahagian kepada tiga kumpulan kecil iaitu Platun 10, 11 dan 12 agar operasi itu lebih berkesan impaknya,” katanya.
Ahmad berkata, pada 6 Oktober 1973, ketika sedang membuat rondaan, salah satu daripada kumpulan kecil itu telah terserempak dengan sekumpulan askar komunis.
"Salah seorang rakan, Renjer Mohd Salleh Mohd Yusuf telah terkorban dalam insiden berbalas tembakan, manakala askar komunis berjaya meloloskan diri,” katanya.
Beliau berkata, gugurnya seorang anggota tentera menjadi pembakar semangat untuk rakan sepasukan lain menjejaki komunis.
"Kita berjaya menemui satu kawasan perkhemahan yang boleh memuatkan kira-kira 70 askar komunis, namun kawasan tersebut telah kosong kerana askar komunis telah melarikan diri,” katanya.
Ahmad berkata, pada 10 Oktober 1973, Platun 12 telah bertempur dengan dua pengganas komunis.
"Dua askar komunis itu mati ditembak, sebelum dibawa keluar dengan helikopter. Kompeni Delta meneruskan usaha menjejaki askar komunis yang masih hidup,” katanya.
Ahmad yang ketika itu sebagai Platun Sarjan berkata, beliau berada dalam Platun 10 ditugaskan untuk menjejak serta memburu askar komunis bermula jam 3 petang sehingga jam 12 tengah malam dengan hanya berpandukan cahaya bulan.
"Kami terpaksa mengharungi kawasan berpaya, pakaian basah lencun itu menjadi perkara biasa bagi seorang askar,” katanya.
Ahmad berkata, susulan hujan lebat menyebabkan pasukannya menghentikan sementara tugas memburu musuh.
"Rakan yang ditugaskan sebagai peninjau kemudian mengesan kedudukan musuh berada kira-kira 100 meter dari lokasi kami berteduh,” katanya.
Ahmad berkata, Robert Rizal telah mengadakan perbincangan dengan rakan sepasukan sebelum melaksanakan serangan mengejut ke kem musuh.
"Kompeni Delta kemudian dipecahkan kepada dua platun kecil, taktiknya adalah dengan kumpulan penyerang adalah seramai tujuh orang termasuk Robert Rizal, manakala kumpulan kedua pula dijadikan kumpulan penyekat.
"Tepat jam 2 pagi, Robert Rizal bersama enam rakan sepasukan mula mendekati kawasan kem musuh,” katanya.
Ledakan tembakan
Beliau berkata, pada jam 6 pagi 11 Oktober 1973, ledakan tembakan memecah kesunyian pagi menyebabkan kumpulan musuh hilang arah.
"Askar komunis telah bertempiaran menyelamatkan diri sambil cuba membalas tembakan.
"Robert Rizal telah mengarahkan rakan sepasukan untuk berkumpul setelah tiada lagi kedengaran bunyi tembakan musuh,” katanya.
Ahmad berkata, setelah rakan sepasukan melakukan penggeledahan mereka menjumpai tujuh mayat askar komunis.
"Rakan sepasukan yang paling rapat dengan saya iaitu Md Desa Mohd Hashim telah rebah dalam pertempuran itu, saya pula cedera akibat terkena tembakan musuh,” katanya.
Beliau berkata, mayat askar komunis dan anggota tentera yang gugur serta tercedera di medan perang harus dikeluarkan dari lokasi.
"Robert Rizal telah mengarahkan anggotanya untuk membuat tapak pendaratan helikopter, sebelum saya dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Ahmad berkata, beliau dimaklumkan selepas tiga hari baru rakan sepasukan Kompeni Delta dikeluarkan dari lokasi tersebut.
"Tindakan itu bagi memastikan tiada lagi saki-baki pengganas komunis kembali ke tempat tersebut,” ujarnya.
Ahmad berkata, kejadian itu menyebabkan beliau terlantar di hospital selama sebulan.
"Susulan kejayaan operasi itu, saya dan Robert Rizal dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani pada 17 Januari 1974,” ujarnya.
Ahmad berkata, beliau mula berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1969.
"Saya telah menjalani latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
"Saya kemudian terlibat dalam lebih lapan operasi sepanjang tempoh 22 tahun sebelum bersara pada Disember 1991,” katanya.
Ahmad berkata, beliau juga pernah menjadi jurulatih rekrut selama empat tahun di Pusasda.
"Seorang anggota tentera ialah perlu ada sikap bertanggungjawab semangat juang yang tinggi, minat serta mempunyai kekuatan dari segi fizikal dan mental,” katanya.
Beliau berkata, cabaran sebagai seorang jurulatih pula adalah individu tersebut perlu ada kesabaran dan ilmu."Bukan sebarangan orang boleh menjadi jurulatih, saya telah dipilih kerana memiliki kepakaran serta pernah terlibat dalam operasi di hutan,” katanya.Ahmad berkata, generasi muda perlu menghargai pengorbanan yang dilakukan oleh perajurit bagi memastikan negara aman dan damai hingga kini.
"Jasa dan sumbangan perwira Angkatan Tentera Malaysia buat ibu pertiwi tidak ternilai harganya dalam usaha berterusan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.