Tekad menang majoriti lebih besar di DUN Changkat Jong

Iklan
Mohd Azhar

TELUK INTAN - UMNO Bahagian Teluk Intan bertekad mengakhiri majoriti dua angka diperoleh di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong pada pilihan raya umum (PRU) lalu dengan jumlah lebih besar pada PRU15.

Ketuanya, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, kemenangan dengan majoriti tipis sebanyak 67 undi dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU lalu menjadi pengajaran berharga kepada pihaknya di bahagian tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan ketika ini bagi menarik semua rakyat kepada UMNO dan BN khususnya yang menyesali tindakan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada 2018 akibat terpedaya janji manis pihak terlibat.

"Ketika BN tewas dan menjadi pembangkang, ada dalam kalangan wakil rakyat bertindak melompat parti mengkhianati mandat rakyat tapi BN di DUN Changkat Jong tidak berganjak mempertahankan mandat rakyat.

Iklan

"Kita terus berkhidmat untuk rakyat biarpun bukan menjadi kerajaan dan tidak mendapat peruntukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pusat Khidmat DUN Changkat Jong di sini pada Jumaat.

Jelas Mohd Azhar, pada PRU13 BN berjaya merampas kerusi DUN Changkat Jong dengan majoriti 1,118 dan tidak mustahil untuk mengekalkan kerusi itu dengan majoriti lebih banyak.

Iklan

Sementara itu, mengenai kerusi Parlimen Teluk Intan yang sebelum ini ditandingi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Mohd Azhar yang juga ADUN Changkat Jong berkata, pihaknya akur dengan sebarang ketetapan yang akan dibuat pimpinan tertinggi parti itu.

Apa yang penting katanya, kerusi DUN Changkat Jong akan kekal menjadi deposit selamat bagi Parlimen Teluk Intan pada PRU15 nanti berbanding kerusi DUN lain seperti Pasir Bedamar yang memihak kepada pembangkang sejak dahulu.

"Sesiapa pun calon yang akan dipilih bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan, individu itu mestilah calon boleh menang dan boleh bekerja serta disenangi rakyat.

"Calon berkenaan mesti berusaha keras untuk menarik undi dari DUN Pasir Bedamar bagi membolehkan kerusi Parlimen Teluk Intan dirampas kembali daripada DAP," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, jentera pilihan raya di Bahagian Teluk Intan juga telah bersiap siaga berdepan PRU15 pada bila-bila masa dan pelancaran secara rasmi akan disempurnakan oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 16 September depan.

Pada PRU14 lalu, BN menewaskan calon Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 67 undi, manakala kerusi Parlimen Teluk Intan dan kerusi DUN Pasir Bedamar dimenangi DAP.