Jumlah dagangan Malaysia-Singapura dijangka cecah RM481.5 bilion

Iklan
Jumlah perdagangan Malaysia dan Singapura bagi 2022 dijangka mencecah S$150 bilion.

JUMLAH perdagangan Malaysia dan Singapura bagi 2022 dijangka mencecah S$150 bilion (S$1=RM3.21), kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Azfar Mohamad Mustafar.

Bercakap pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 dan Hari Malaysia ke-59 yang diadakan di sini pada Jumaat, beliau berkata, bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan yang direkodkan adalah sebanyak S$90 bilion.

Iklan
Iklan

"Hubungan ekonomi kita adalah kukuh. Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar Singapura, begitu juga Singapura adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia.

"Pada 2021, meskipun gangguan yang disebabkan pandemik Covid-19, jumlah perdagangan yang direkodkan adalah sebanyak S$128 bilion,” katanya.

Iklan

Azfar berkata, Singapura juga merupakan pelabur asing kedua terbesar di Malaysia dengan pelaburan diluluskan bernilai US$12 bilion (US$1=RM4.49) tahun lepas.

Selain itu katanya, hubungan antara rakyat kedua-dua negara ini juga terjalin kukuh sejak sekian lama.

Iklan

"Ramai warga Malaysia dan Singapura mempunyai sanak saudara dan rakan-rakan yang bekerja, tinggal atau belajar di seberang tambak.

"Ikatan persahabatan dan persaudaraan yang erat dalam kalangan rakyat kita akan terus menjadi faktor penting membentuk teras hubungan dua hala kita,” katanya.

Malaysia dan Singapura, katanya, juga bekerjasama dan berkongsi pandangan yang sama mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa.

"Malaysia komited bekerjasama dengan Singapura bagi memastikan perpaduan ASEAN.

"Malaysia juga komited untuk bekerjasama dengan Singapura, serta negara-negara lain, untuk mengekalkan keamanan serantau dan antarabangsa, keselamatan dan kestabilan, bagi memastikan keluhuran kedaulatan undang-undang, kebebasan perdagangan dan multilaterisme,” katanya.

Azfar percaya, hubungan Malaysia dengan Singapura akan terus bertambah erat dan berkembang kukuh.

Menurutnya, para pemimpin kedua-dua negara juga sentiasa mengadakan kunjungan rasmi antara satu sama lain.

"Para pemimpin kita akan terus mengukuhkan hubungan dua hala kita dan bagi tempoh berbaki 2022, banyak lawatan peringkat tinggi telah dirancang,” katanya.

Majlis sambutan itu disokong oleh firma dan agensi Malaysia di sini termasuk MISC Bhd, Maybank, CIMB, dan EcoWorld, serta Causeway Links, Handal Indah, KTMB, Malaysia Airlines, Teleport, Sarawak Trade and Tourism Office Singapore dan Johor Economic Tourism and Cultural Office Singapore. - Bernama