KUANTAN - Organisasi di semua peringkat negara mahupun negeri perlu mengguna pakai inisiatif tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) bagi mencapai matlamat pembangunan mampan.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, inisitaif itu adalah aspek penting yang perlu diperkasa dan diberi perhatian oleh setiap entiti sama ada mikro mahu pun makro dalam negara ini.
Titah baginda, inisiatif untuk melindungi alam sekitar dan hidupan serta tumbuhan juga perlu diberikan perhatian serius agar bumi tidak dimanipulasi oleh tangan yang rakus mencari keuntungan dengan memusnahkan sumber alam.
"Selain itu, aspek sosial juga penting dalam melahirkan rakyat yang sihat mental, fizikal, mempunyai keseimbangan masa antara kerja dan keluarga serta kekuatan dalam hasil aplikasi kerohanian mengikut kepercayaan agama masing-masing.
"Aspek governan juga penting terutamanya melibatkan ekonomi negara. Perbelanjaan kewangan yang telus sangat perlu bagi memastikan tidak berlakunya ketirasan yang merugikan rakyat.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan ucapan sebelum menyempurnakan istiadat konvokesyen Universiti Kolej yayasan Pahang (UCYP) dan Kolej Yayasan Pahang (KYP) serta sambutan 30 tahun institusi terbabit di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan, pada Sabtu.
Seramai 1,238 graduan UCYP dan 496 graduan KYP terdiri daripada pelbagai bidang pengajian bakal menghadiri istiadat konvokesyen ini yang diadakan selama dua hari melibatkan tiga sidang bermula pada Sabtu dan berakhir Ahad.
Tunku Azizah bertitah, bagi mencapai ESG negara yang mantap, peranan graduan amatlah penting ke arah memimpin organisasi dan masyarakat menjadi lebih mampan dan berdaya saing.
Selain itu, baginda turut tertarik dengan institusi Fiqh Al Watan sebagai tatacara kehidupan bertanah air yang diperkenalkan UCYP melalui institusi peradaban Islam antarabangsanya.
Titah baginda inisiatif fiqh Al Watan ini berpandukan kepada tiga prinsip utama iaitu kedaulatan raja, agama, kerukunan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.
"Beta yakin inisiatif ini (fiqh Al Watan) bakal menjadikan pemangkin ke arah penghayatan nilai hidup yang lebih harmoni lagi bertatasusila.
"Beta juga dimaklumkan bahawa pihak UCYP telah memulakan inisiatif membangunkan kursus-kursus pendek dalam membentuk micro-credential yang memfokuskan kepada aspek kelestarian alam sekitar, pendigitalan dan pengurusan organisasi.
"Ia adalah satu usaha menjadikan isu penjagaan alam sekitar, literasi digital dan tadbir urus berkesan menjadi satu perkara yang perlu dititik beratkan di dalam masyarakat serta institusi," titah Tuanku Azizah.
Sehubungan itu, titah baginda, kejayaan graduan pada hari ini adalah permulaan kepada pelengkap pembangunan tamadun Malaysia yang maju, mempunyai nilai hidup berteraskan kepada prinsip berkualiti tinggi, adil dan saksama.
"Beta ingin berpesan kepada semua graduan supaya dapat meneruskan usaha mencari ilmu, mengamalkan dasar etika yang terbaik agar organisasi dan masyarakat dapat berkembang dengan penuh nilai serta moral tinggi," titah baginda lagi.