Melaka United sukar terima kenyataan tewas tiga aksi

Iklan
Pemain Melaka United FC cuba menghalang kemaraan pemain Kedah Darul Aman FC Wanja Ronald Ngah (tengah) ketika beraksi dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat, pada Jumaat - FOTO-Bernama

PENGENDALI sementara Melaka United FC, Mohd Asri Ninggal, mengakui bukan mudah untuk beliau menerima kenyataan bahawa pasukannya tewas dalam tiga perlawanan liga berturut-turut, pada musim ini.

Menurut beliau, ketiadaan beberapa khidmat pemain utama yang mengalami kecederaan memberi impak kepada corak permainan pasukan sekali gus menyaksikan pasukannya kekurangan idea dan kreativiti terutama di bahagian tengah serta serangan dalam mencipta peluang menjaringkan gol.

Iklan
Iklan

Justeru beliau berharap, pasukannya mampu untuk bangkit dan pemain-pemain yang cedera pulih sepenuhnya menjelang aksi menentang Kuala Lumpur City yang dijadual diadakan pada Khamis ini.

"Tiga kekalahan berturut-turut dalam aksi liga bukan mudah. Bagaimanapun keputusan ini sebenarnya sudah dijangka memandangkan kami turun dalam permainan ini tanpa beberapa pemain terbaik.

Iklan

"Kredit harus diberikan kepada barisan pemain tempatan dan beberapa pemain B-21 yang diturunkan malam ini kerana mereka telah tunjukkan yang terbaik Cuma agak kurang bernasib baik.

"Ada enam hari lagi persediaan sebelum perlawanan bertemu Kuala Lumpur. Ia bukan pertemuan yang mudah kerana kita tahu kekuatan pasukan lawan yang berada di tahap terbaik. Diharap pemain-pemain utama kembali pulih untuk memperkuatkan pasukan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan, malam Jumaat.

Iklan

Dalam aksi di Stadium Hang Jebat itu, skuad Sang Kancil dibolosi Kedah pada minit ke-13 menerusi pemain import dari Jordan Mahmoud Almardi dan keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua Kedah terus mengasak kubu tuan rumah dan berjaya menambah gol menerusi Fayadh Zulkifli pada minit ke-83 disusuli Mahmoud melengkapkan gol ketiga skuad Lang Merah seminit sebelum tamat masa permainan.

Kekalahan itu menyaksikan Melaka yang mengumpul 17 mata kini berada di tangga kesembilan manakala Kedah naik ke tangga kelima Liga Super dengan 24 mata.