LANGKAWI - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mencadangkan suara kerajaan negeri diperkasakan dalam Dewan Negara dengan penambahan bilangan ahli.
Baginda bertitah, Fasal (4) Perkara 45 Perlembagaan Malaysia menetapkan Parlimen melalui undang-undang menambah bilangan ahli yang dipilih oleh negeri daripada dua menjadi tiga, dan mengurangkan bilangan ahli dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Baginda bertitah, setakat ini, perkara itu tidak pernah diteliti dan dilaksanakan.
"Perenggan (a) dalam peruntukan tersebut, secara khususnya memperuntukkan penambahan bilangan ahli yang dipilih oleh negeri daripada dua menjadi tiga.
"Peruntukan tersebut adalah selaras dengan semangat perlembagaan seperti yang dicadangkan oleh Laporan Suruhanjaya Reid untuk mengimbangi Parlimen melalui Dewan Negara, yang membawa suara daripada negeri," titah baginda ketika berangkat merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, pada Sabtu.
Turut berangkat pada majlis perasmian ini, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor; Yang diPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Speker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Juhari Bulat.
Sultan Sallehuddin bertitah, baginda percaya peranan Dewan Negara perlu diperkasakan semula agar suara negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia lebih didengari di Parlimen, dan terus berperanan mengimbangi fungsi Dewan Rakyat.
"Beta berharap cadangan ini boleh dipertimbangkan dan diteliti untuk diimplementasi di masa hadapan," titah baginda.
Dalam perkembangan sama, sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan dalam persidangan itu iaitu Pengenalan Sistem Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Rakyat, Cadangan Penubuhan Bahagian Penyelidikan di Dewan Undangan dan Bangun Membina Perubahan Bekekalan di Malaysia.