GEORGETOWN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang mengesahkan kejadian asap tebal di tingkat 3, KOMTAR adalah berpunca daripada kerosakan peralatan unit pengendalian udara (AHU) di bangunan tersebut.
Jurucakapnya berkata, kerosakan pada alat AHU itu menyebabkan berlaku geseran lalu mengeluarkan asap.
Ia merupakan maklumat awal dan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian yang berlaku petang semalam.
Sementara itu, pengurusan KOMTAR, PDC Setia Urus dalam kenyataannya berkata, orang ramai diminta menghentikan menyebar khabar angin dan gambar berhubung kejadian itu.
Jurucakapnya berkata, ada pihak yang menyebarkan gambar lama iaitu kejadian kebakaran di KOMTAR dua tahun lalu.
"Kes masih disiasat dan kita berharap agar semua pihak jangan menyebarkan maklumat tidak sahih yang tidak disahkan pihak berkuasa.
"Berhrntilah menyebarkan gambar dua tahun lalu yang mana berlaku kebakaran di KOMTAR," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kompleks KOMTAR berasap
ARTIKEL BERKAITAN: Saya ingat latihan kebakaran, kata KM Pulau Pinang
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, KOMTAR kecoh apabila loceng kecemasan berbunyi selepas beberapa buah kedai di aras 3 kompleks itu dipenuhi asap tebal.
Hampir 2,000 penjawat awam serta peniaga dalam kompleks berkenaan berlari menyelamatkan diri dan berkumpul di ruang legar hadapan pintu masuk.
Turut terkesan dengan kejadian itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang yang sedang bermesyuarat petang semalam.
Mereka turut dilihat bergegas turun menggunakan tangga dari tingkat 28 KOMTAR untuk ke ruangan berkumpul namun tiada mangsa terlibat dilaporkan.