80,000 tiket final Piala AFF Suzuki 2018 'sold out'!

Iklan
Penyokong masih setia menunggu walau dimaklumkan 40,000 tiket yang dijual sudah habis.

TIKET final pertama Piala AFF 2018 di antara Malaysia dan Vietnam yang dijual di kaunter Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini ibarat pisang goreng panas apabila habis dijual dalam masa yang singkat.

Pihak stadium menerusi pembesar suara memaklumkan bahawa tiket sudah habis dijual dan makluman itu diulang beberapa kali.

Iklan
Iklan

"Dukacita diberitahu tiket di kaunter sudah habis dijual, harap maklum," maklum pihak stadium.

[ARTIKEL BERKAITAN: 40,000 tiket dalam talian habis dijual]

Iklan

Meskipun begitu, para penyokong masih setia menunggu dan tidak berganjak daripada kedudukan mereka walaupun dimaklumkan tiket sudah habis.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati, suasana di sini terkawal dan kelihatan polis sedang memantau keadaan.

Iklan

Sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut meminta peminat bola sepak negara yang berhasrat ke sini bagi mendapatkan tiket final berkenaan, agar melupakan hasrat mereka.

Ini kerana kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, selepas mengambil kira barisan penyokong yang beratur sejak malam tadi di kaunter tiket A dan E di stadium ini sudah mengelilingi stadium, beliau yakin kesemua 40,000 tiket yang diperuntukkan hari ini akan habis dijual dalam masa singkat.

Katanya, FAM amat menghargai sokongan peminat tempatan terhadap Harimau Malaya pada aksi pertama final berkenaan namun hanya 80,000 keping tiket disediakan.

Untuk rekod, sebanyak 40,000 tiket yang dijual dalam talian pada Jumaat dan semalam, habis dijual dalam masa singkat.

Malaysia mencatat keputusan agregat seri 2-2 menentang Thailand pada aksi separuh akhir namun mara ke final menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Vietnam pula menempah tiket ke final setelah mencatat kemenangan agregat 4-2 ke atas Filipina pada satu lagi aksi separuh akhir kejohanan yang menggunakan format timbal balik itu.