`Baca alasan penghakiman'

Iklan
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat

KUALA LUMPUR - Kesimpulan yang dibuat pihak tertentu terhadap sesuatu kes mahkamah tanpa memahami alasan penghakiman hanya akan menyebabkan keadaan huru-hara.

Menurut laporan The Star, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, dalam keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Ogos lalu, beberapa individu termasuk ahli politik memberikan komen berdasarkan sentimen semata-mata.

Iklan
Iklan

Tegasnya, tindakan tersebut jelas menunjukkan mereka tidak membaca alasan penghakiman selain tidak memahami menyebabkan ulasan yang dibuat tidak relevan.

"Kalau tak faham, tanyalah. Kalau dah baca (penghakiman) pun masih tak faham, tanyalah.

Iklan

"Tanya orang yang betul. Jangan cepat membuat kesimpulan tanpa memahami sepenuhnya keputusan itu. Komen seperti itu hanya akan membawa huru-hara," katanya selepas menghadiri Persidangan Litigasi Kebangsaan kedua 2022 anjuran Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur (KLBC) pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai serangan terhadap institusi kehakiman susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Iklan

Panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Sebelum ini, Majlis Peguam mengutuk tindakan berniat jahat, tidak wajar dan berbentuk ancaman yang dilemparkan terhadap badan kehakiman serta Tengku Maimun, menyifatkan serangan itu berbaur sentimen antikehakiman serta tidak adil kepada badan kehakiman negara.

Tengku Maimun dalam pada itu berkata, adalah tidak adil sekiranya ada pihak membuat kesimpulan tanpa memahami sesuatu isu.

"Adalah tidak adil untuk membuat kenyataan terhadap isu yang kamu tidak faham.

"Jika kamu tidak faham, tiada asas pengetahuan, tidak memahami sepenuhnya, tapi kamu buat kenyataan. Ini tidak betul," kata beliau.