DISANGKAKAN pengantin baharu, namun rupanya anak beranak yang berbusana raja sehari hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Terengganu FC (TFC).
Syahrul Mohd Sarep yang datang bersama anaknya, Nieza, memakai busana pengantin itu bagi memeriahkan perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
"Niat kami memakai busana pengantin ini adalah untuk memeriahkan lagi perlawanan akhir. Kalah atau menang itu belakang cerita.
"Saya ramal Terengganu akan seri 1-1 yang mana Faisal Halim akan menjaringkan gol pada malam ini, dan akan menang pada penentuan sepakan penalti nanti,” katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pelbagai gelagat penyokong dapat disaksikan menjelang pertembungan antara TFC dan JDT, malam ini.
Selain peminat berbusana pengantin, turut mencuri tumpuan adalah penampilan empat 'puntianak Terengganu' yang dilihat berkeliaran di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Kehadiran Firdaus Ridzuan Ramli, Saifudin Ramli, Syahmi Abdullah dan Firdaus Ibrahim yang tampil dengan imej puntianak menarik perhatian peminat yang berada di pekarangan stadium berkenaan.
Firdaus Ridzuan berkata, ini bukan kali pertama dia bersama saudaranya mengenakan imej sedemikian apabila pernah tampil dengan imej pocong ketika TFC ke final pada 2011.
"Kita tampil dengan imej puntianak tahun ini sebab tahun sebelum ini kami buat pocong dan pernah viral. Sudah 11 tahun kami tunggu untuk ke final, jadi kami tampil dengan imej puntianak untuk membakar semangat kita melawan JDT.
"Kami rancang benda sudah lama, jadi bila ada final kami buat. Malah setiap kali pergi final kami akan cuba buat kelainan.
"Kami buat ini (imej puntianak) sebagai penawar, JDT jadi lemah. Harapan kami untuk melihat Terengganu menang Piala FA, anggaran kita tak nak banyak, 2-1 sahaja," katanya ketika ditemui di pekarangan stadium.
Kali terakhir TFC menjulang Piala FA pada 2011 selepas mengalahkan Kelantan 2-1 dan skuad Penyu juga pernah merangkul kejuaraan sama pada tahun 2000.