SHAH ALAM - Seramai 470 pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) menjadi kumpulan pertama yang menjalani ujian Pra Penilaian Modul Integriti (Pendidikan Islam) bagi mengenal pasti tahap penguasaan bacaan al-Quran dan solat.
Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, projek perintis tersebut diadakan di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hasim Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada Jumaat.
Kenyataan itu memaklumkan, ujian saringan berkenaan diadakan bertujuan mengenal pasti tahap bacaan al-Quran para pelatih sama ada di peringkat mahir, sederhana atau lemah.
Program saringan itu juga dilakukan bagi mengenal pasti tahap penguasaan solat para pelatih serta mengklasifikasikan mereka mengikut tahap penguasaan al-Quran dan solat untuk pelatih konstabel PLAK.
"Penilai yang terlibat dalam ujian saringan berkenaan terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam BAKA Bukit Aman, BAKA Wangsa Maju, BAKA Pulapol dan imam Masjid Bukit Aman.
"Pelatih yang dikenal pasti di peringkat lemah dan sederhana akan mengikuti kelas al-Quran dan bimbingan solat yang akan dikendalikan oleh pegawai agama BAKA yang bertugas di Pulapol Kuala Lumpur.
"Mudah-mudahan dengan usaha ini warga PDRM mampu membaca al-Quran, solat dan berpengetahuan ilmu agama Islam dengan baik seterusnya menjadi anggota yang berintegriti, berakhlak mulia serta bersemangat memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan,” menurutnya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.
Sementara itu, inisiatif tersebut disambut baik oleh warga net, Salehudin Abdul Aziz dan menyifatkan ia sebagai tindakan murni oleh pihak kepimpinan PDRM.
"Alhamdulillah, PDRM ingin memastikan semua anggota polis mampu membaca al-Quran dan solat dengan baik, maka diadakan ujian untuk kenal pasti kemahiran bacaan dan pengetahuan agama Islam pelatih sebelum membahagikan kepada kelas yang sesuai. Tahniah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.