IPOH - Seramai 34 warga asing ditahan dalam tiga operasi berasingan mulai tengah malam semalam hingga awal pagi tadi.
Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, kesemua warga asing dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun itu ditahan kerana didapati melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen seperti salah guna pas, tinggal melebihi masa di negara ini selain tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Malah menurutnya, hasil siasatan, pihaknya juga mendapati dua warga asing dikesan menggunakan dokumen palsu.
"Operasi pertama, kita menahan enam wanita Vietnam di sebuah kafe bar korek di Chui Chak manakala operasi kedua, kita menahan enam lelaki dan dua wanita warga Thailand di sebuah premis tomyam di Jalan Kuala Dipang - Kampar.
"Bagi operasi ketiga, kita berjaya menahan seramai 20 warga asing melibatkan 16 perempuan (13 warga China, tiga warga Vietnam) empat lelaki (seorang warga Vietnam, tiga warga tempatan) yang kita syaki bekerja di sebuah pusat KTV di Jalan Medan Ipoh," katanya pada sidang media, petang tadi.
Difahamkan operasi yang bermula pada tengah malam semalam dan berakhir sekitar 4 pagi tadi itu turut disertai 21 pegawai imigresen.
Untuk rekod, bagi tempoh 1 Januari hingga 6 April 2019, pihak Imigresen Perak telah melakukan sebanyak 315 operasi, 3,065 (pemeriksaan), 897 (tangkapan) dan 55 kes tangkapan majikan.
Sementara itu Kamalludin berkata, pihak imigresen akan meneruskan operasi sedemikian termasuk tangkapan terhadap majikan yang masih menggaji atau melindungi warga asing yang didapati tidak memiliki permit atau dokumen yang sah.
Justeru katanya, pihak majikan perlu mengambil pekerja warga asing secara teratur demi mengelakkan sebarang tindakan kelak.
"Kita minta kepada majikan ambil pekerja warga asing secara teratur kerana kita juga tekankan tangkapan kepada majikan yang melakukan kesalahan.
"Kita juga minta kepada warga Perak khususnya, berikanlah maklumat kepada kita supaya kita boleh ambil tindakan lanjut.
"Memang tidak ada kompromi dalam kita buat siasatan dan tangkapan melibatkan warga asing yang tidak memiliki pas dan dokumen yang sah," katanya.