Peram puisi sebelum dikongsi

Iklan
Rahman (tengah) bersama Penerbit Syahida Hassan Enterprise (SHE), Nurul Syahida Hassan (kiri) dan Aina Mastura (kanan) pada majlis pelancaran buku Antologi Puisi Malaysiaku berjudul Rumpun Luhur di Shah Alam baru-baru ini.

Era teknologi komunikasi maklumat (ICT) telah mencorakkan gaya hidup yang pantas, mudah, dan meluas. Bahkan segala maklumat terjangkau dalam tempoh yang singkat menerusi kecanggihan teknologi.

Ledakan maklumat melalui perantaraan media komunikasi seperti internet, telefon bimbit, dan teknologi siber, khususnya kemudahan capaian dan liputan teknologi komputer serta aplikasi pesanan ringkas menerusi telefon pintar dan media sosial.

Tidak dapat disangkalkan bahawa era modenisasi banyak menyumbang kepada perkembangan positif dalam kehidupan manusia. Tetapi pada masa yang sama ia juga dilihat turut memberi cabaran dan isu yang mampu menimbulkan keresahan dan kegalauan dalam kalangan pengkritik sastera khususnya yang melibatkan penerbitan puisi yang baik.

Iklan
Iklan

Lazimnya penerbitan puisi secara individu dalam media sosial tidak memperuntukkan pembaca pruf atau penyunting profesional dalam proses pemurnian puisi sebelum ia diterbitkan. Justeru, penerbitan puisi secara digital tidak melalui satu proses yang wajar dan lazim dilakukan dalam proses penerbitan melalui media cetak seperti akhbar, majalah, dan buku.

Kepantasan dan kecekapan dalam menyampaikan maklumat baharu di alaf ini menerusi kecanggihan dan kemodenan media digital bukan satu berita baik buat penyair khususnya pengkritik sastera yang mendambakan karya berimpak tinggi dan bersifat dinamik.

Demikian luahan rasa Sasterawan Negara ke-15, Dato' Rahman Shaari ketika melancarkan Antologi Puisi Malaysiaku yang diselenggara oleh Aina Mastura Mohamed Saaid berjudul 'Rumpun Luhur' di Shah Alam, baru-baru ini.

Iklan

Menurut Rahman, perkembangan teknologi mengizinkan apa sahaja untuk diterbitkan secara maya dan langsung. Sekali gus dengan pengizinan apa sahaja diterbitkan dalam bidang puisi pada kadar waktu yang singkat dan secara spontan itu dikhuatiri akan menyebabkan masa depan puisi merosot.

Penerbitan puisi dalam media sosial yang mudah diakses oleh sesiapa sahaja sering meraih pelbagai reaksi dan pujian oleh kaum kerabat dan sahabat pengkarya terbabit.

Iklan

Secara bergurau Rahman berkata jangan-jangan yang memberi like dan tanda suka langsung tidak membacanya.

"Karya-karya klise atau basi diterbitkan (secara sewenang-wenangnya) dan dipuji sahabat walau tak dibacanya, menyebabkan para pengkiritik sastera menghadapi masalah," jelas Rahman.

Katanya hal yang demikian akan menyebabkan para pengkritik yang sebenar menjadi tidak berani mengatakan kebenaran.

DIBACA, DIUBAH

Menurut beliau lagi, di samping menyatakan perkara yang yang baik, adalah menjadi tanggungjawab sebagai pengkritik untuk mengutarakan juga karya yang tidak bermutu.

"Ketika menunjukkan karya yang tidak baik, pengkaryanya pula akan menjawab – hang tu pandai sangat ke?," selorohnya lagi disambut dengan gelak ketawa para tetamu yang hadir.

Rahman secara tegas menyatakan bahawa pengkarya itu tidak menggunakan upaya yang maksima dalam penghasilan karya puisi yang berimpak tinggi.

"Dengan tidak menggunakan upaya yang maksima, karya yang seharusnya diperam itu terus diterbitkan menerusi media sosial," katanya.

Proses pemeraman adalah proses di mana karya yang dihasilkan dibaca semula dan berkali-kali, diubah elok dari masa ke masa, atau/dan diperbaiki untuk lebih memurnikan lagi karya terbabit oleh pengkarya itu sendiri. Proses ini dipercayai mampu membantu pengkarya mengenalpasti unsur klise yang boleh dikeluarkan

sebelum karya diterbitkan. Dalam tempoh pemeraman, pengkarya juga berkemungkinan beroleh sudut pandangan, buah fikiran, dan ilham yang baharu, segar, dan dinamik dalam usaha menekuni karya berkenaan.

Menurut teori Rahman terhadap karya yang melalui proses pemeraman ini akan menjadi lebih cemerlang dengan peningkatan pengupayaan. Dengan itu, ia dapat melangsungkan tradisi melahirkan lebih ramai lagi tokoh hebat seperti Masuri S.N., Usman Awang, A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Latiff Mohidin, dan lain-lain lagi.

Pesan beliau lagi, penghasilan karya yang dinamik dan berimpak tinggi wajar diperam, diperbaiki dari masa ke masa dan bila ia sudah masak, baru diterbitkan dalam media yang sewajarnya.

"Pesanan ini bukan untuk pengkarya yang hadir di sini sahaja, tetapi secara keseluruhannya supaya masa depan puisi tidak jatuh," nasihat beliau lagi.

Merujuk kepada buku antologi puisi berjudul 'Rumpun Luhur' yang dirasmikan, beliau berpendapat bahawa sebahagian besar daripada karya dalam buku itu ada unsur pemeraman.

"Terdapat karya bertemakan merdeka yang tidak semestinya memuji-muji (tentang negara) sahaja," jelas beliau.

Rahman menggesa pihak penerbit untuk terus menghasilkan penerbitan buku dalam genre puisi yang bermutu tinggi dengan mengambil berat tentang proses pemeraman.

Beliau juga berpesan agar pengkarya puisi tidak ambil mudah proses pemeraman dan jangan beranggapan puisi yang telah ditulis harus diterbitkan dan dikongsi secara terbuka.

Saranan beliau lagi agar pengkarya menganggap diri sebagai editor dan jangan berputus asa untuk terus berkarya kerana itu menentukan tahap kita sebagai pengkarya yang berupaya menghasilkan karya berimpak tinggi.