PRU15: Sabah tidak akan bubar DUN

Iklan
Bung Moktar (tiga dari kanan) bersama Abdul Rahman (kanan) ketika merasmikan Program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN Kota Belud dan Tuaran, di Dewan Masyarakat Tun Said, di Kota Belud.

KOTA BELUD - [DIKEMAS KINI] UMNO Sabah menolak kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, walaupun tidak mungkin berlaku pilihan raya membabitkan negeri namun persiapan tetap dilakukan secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

"Kemungkinan itu memang tidak ada (bubar DUN Sabah), cuma dalam politik ini bermacam perkara boleh berlaku, jadi persiapan kita ini adalah secara menyeluruh.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada BN turut membuat persediaan jika berlakunya pembubaran DUN Sabah pada PRU kali ini.

Iklan

Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah sebelum itu hadir untuk merasmikan Program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera BN Kota Belud dan Tuaran, di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Bung Moktar memberi jaminan bahawa parti itu akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud pada PRU15

Iklan

Beliau berkata, jentera BN harus bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN bukan saja di kerusi kerusi Parlimen Kota Belud malah berjaya menawan Putrajaya.

"Biru adalah warna keramat bagi memastikan BN menjejak kaki ke Putrajaya. Kota Belud dan Tuaran kita tawan dalam pilihan raya akan datang kerana Kota Belud ini kubu kuat suatu ketika dulu.

"Calon ramai berpotensi, kita akan pilih yang boleh menang, diterima dan disukai rakyat Kota Belud.

"Yang penting jentera BN harus bersiap sedia turun padang bekerja seperti 'lipas kudung' bagi memastikan kemenangan calon PRU," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan turut yakin DUN Sabah tidak akan dibubarkan pada pilihan raya bakal diadakan tidak lama lagi.

"Dalam PRU15 ini kita tidak akan bubarkan DUN.

"Yang akan ada ialah pemilihan atau pilihan raya Parlimen dan kerajaan Persekutuan saja yang Sabah akan bakal pilih nanti," katanya.