PORT DICKSON - Sebuah lori tangki yang membawa muatan diesel terbalik menyebabkan tumpahan minyak di Jalan Pasir Panjang berhampiran lampu isyarat hadapan sebuah resort di Teluk Kemang di sini pada Ahad.
Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Azizee Alias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.20 pagi.
"Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) diarahkan ke lokasi.
"Bagaimanapun sebaik tiba, mangsa iaitu pemandu lori seorang lelaki berusia 23 tahun telah dikejarkan ke Hospital Port Dickson," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Jelasnya lagi, kerja-kerja kawalan tumpahan minyak dan pembersihan sedang dilakukan ketika ini oleh pihak bomba serta pasukan Hazmat.