PENGENDALI Terengganu FC, Nafuzi Zain, mengakui jurang cukup jauh antara pemain-pemain Skuad Penyu dan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi punca pasukannya kempunan untuk menjulang Piala FA 2022, malam tadi.
Bagaimanapun di sebalik keputusan tersebut, beliau berpendapat anak buahnya yang masih muda mendapat pengalaman yang berguna dalam membantu mengembangkan lagi karier mereka pada masa akan datang.
Sebelum ini, impian TFC untuk menamatkan kemarau 11 tahun Piala FA tidak kesampaian apabila tewas 1-3 di tangan JDT pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil
Gol pertama JDT disumbangkan pemain muda mereka Arif Aiman Hanapi manakala dua gol lagi menerusi tonggak import Bergson Da Silva dan gol sagu hati Terengganu menerusi Tchetche Kipre.
Dalam pada itu ketika diminta mengulas berkenaan tindakan penjaga gol Rahadiazli Rahalim yang melakukan kesilapan sehingga menyebabkan gawang Terengganu dibolosi, Nafuzi mengakui ia sepatutnya tidak berlaku.
Walau bagaimanapun Nafuzi langsung tidak menyesal menurunkan penjaga gol tinggi lampai itu di perlawanan akhir.
"Ketika perlawanan 2-1 saya rasa kita mempunyai tenaga cukup untuk menyamakan kedudukan tetapi kita melepaskan gol ketiga cepat sangat.
"Kesilapan Rahadiazli kerana beliau tidak sepatutnya keluar tapi dengan pemain muda ini kita perlu jangka perkara seperti ini akan berlaku.
"Saya tidak pernah menyesal membawa masuk Rahadiazli. Saya bukan jurulatih yang suka menutup ruang pemain muda kerana ini semua proses pembelajaran, jadi kalau kita tutup tak guna kita bagi peluang. Banyak lagi yang perlu mereka belajar termasuk saya,” ujarnya.