IPOH - Tiada pengambilan pekerja warga asing yang boleh diperoleh menerusi surat sokongan mana-mana pihak termasuk menteri bagi mendapatkan kelulusan khas kuota seperti yang tular di media sosial pada Sabtu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, semua permohonan hanya dibenarkan mengikut prosedur yang ditetapkan secara dalam talian.
"Saya memang menerima surat seperti itu daripada menteri-menteri tetapi walaupun ada surat sokongan, mereka masih perlu membuat permohonan melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Apabila ada yang membuat permintaan atau rayuan kepada Perdana Menteri atau mana-mana menteri memang biasanya mereka akan panjangkan kepada saya sebab ini adalah peraturan yang dikuatkuasakan Kementerian Sumber Manusia jadi tidak semestinya kami luluskan.
Saravanan diminta mengulas isu tular di media sosial apabila pengguna Twitter menggunakan nama lady_bugg11 memuat naik surat dari Pejabat Perdana Menteri kepada Setiausaha Sulit Kanan, Menteri Sumber Manusia dengan catatan 'Patut majikan tak nak ambil warga tempatan'.
Surat yang dimuat naik petang Sabtu itu mengandungi permohonan kelulusan khas mendapatkan kuota bagi merekrut dan membekalkan seramai 12,000 pekerja asing dari negara sumber atau Bangladesh tanpa perlu dirujuk kepada panel jawatankuasa JKPTD untuk pelanggan Semenanjung Malaysia.
Ditanya mengenai Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang sesak dengan ratusan majikan baru-baru ini kerana didakwa akibat sistem sesi temu duga pengambilan pekerja asing tidak teratur dan menyusahkan, Saravanan berkata ia sebenarnya disebabkan terdapat majikan yang hadir tanpa jemputan.
"Proses permohonan telah diperluaskan di semua negeri yang boleh dibuat menerusi Jabatan Tenaga Kerja dan bukannya di Putrajaya sahaja dan tiada lagi majikan beratur panjang, ia hanya berlaku selama sehari," katanya.
Difahamkan, KSM hanya mengehadkan 300 majikan untuk ditemu duga setiap hari, namun kehadiran majikan dari seluruh pelosok negara melebihi kuota tersebut. - Bernama