KUANTAN - Penantian selama 20 tahun oleh lebih 600 peneroka tanah rancangan Felda di Bukit Sagu untuk memiliki geran pemilikan tanah berakhir pada Ahad.
Kesemua peneroka menerima geran berkenaan daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada majlis penyerahan Dewan Felda Bukit Sagu 1 di sini.
Penerima, Khalid Chin, 69, yang tidak dapat menahan sebaknya berkata, penantian dan usaha yang dilakukan oleh peneroka Felda nyata berbaloi selepas tertangguh bertahun-tahun.
Menurutnya, dia bersyukur atas keprihatinan kerajaan Pahang yang peka terhadap masalah dan nasib mereka.
"Alhamdulillah, akhirnya perjuangan kami (peneroka) untuk mendapat hak milik tanah yang diusahakan selama 45 tahun tercapai walaupun ramai yang sudah tiada (meninggal dunia) ia (hak milik tanah) dapat diwarisi anak-anak mereka.
"Jadi, tanah yang ada ini akan digunakan sebaiknya dan meneruskan penanaman sawit bagi menyara kehidupan," katanya selepas menerima geran berkenaan.
Hanim Farah Marlisa Hassan, 35, pula menyifatkan penerimaan geran itu amat bermakna walaupun ayahnya sudah lama meninggal dunia.
"Sebagai generasi kedua, saya rasa bertuah kerana dapat meneruskan legasi keluarga dan akan terus usahakan tanah yang diberi kerajaan ini," katanya yang bekerja sebagai penjawat awam.
Sementara itu, Ramlah W Teh, 68, berkata, proses pemberian geran itu mengambil masa yang lama kerana melibatkan tanah seluas 4,0469 hektar.
Menurutnya, dia bertekad untuk memanfaatkan sebaik mungkin tanah itu sebagai aset keluarga yang bakal diwarisi turun-temurun.
"Tanah ini sudah diusahakan dengan tanaman kelapa sawit. Saya amat bersyukur kerana ia memberikan pulangan lumayan hasil usaha sejak 40 tahun lalu.
"Insya-ALLAH, ia akan dijaga dengan sebaik mungkin kerana jika mempersia-siakannya boleh diibaratkan menderhaka kepercayaan diberi oleh kerajaan," ujar Ramlah lagi.