Sasar 250,000 saringan kesihatan PeKa B40

Iklan
Mohd Fadzrel (kiri) memberikan penerangan mengenai skim PeKa B40 kepada penduduk yang hadir.

Mohd Fadzrel (kiri) memberikan penerangan mengenai skim PeKa B40 kepada penduduk yang hadir.

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd terus proaktif dalam memastikan rakyat khususnya golongan B40 tidak ketinggalan memanfaatkan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang telah diperkenalkan oleh kerajaan sejak 2019.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation, Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata, pihaknya menyasarkan 200,000 hingga 250,000 orang daripada golongan B40 di seluruh negara membuat saringan kesihatan pada 2022 berbanding 101,673 orang pada 2021.

Menurutnya, setakat ini, seramai 152,000 orang sudah melakukan saringan sehingga Ogos lalu.

Iklan

Seiring dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat, pihak ProtectHealth kini giat turun padang dalam menjalankan program jangkau luar untuk mencapai kumpulan sasaran terlibat.

Sehingga kini, ProtectHealth telah menjalankan lebih 50 program jangkau luar dalam menyahut agenda kerajaan dalam memperkasakan rakyat atas kesedaran penjagaan kesihatan dan pencegahan penyakit tidak berjangkit.

Orang ramai yang hadir melakukan semakan dan menjalani saringan kesihatan dalam program tersebut

"Antaranya, program di kampung Orang Asli untuk meningkatkan jumlah masyarakat itu tampil membuat saringan kesihatan sekali gus dapat menikmati faedah skim ini. Kampung Ibam, di Bera menjadi perkampungan pertama Orang Asli di Pahang untuk program sebegini,” ujarnya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Program Lah Hea Sihat Bersama Komuniti Orang Asli dan Hari Jantung Sedunia 2022, peringkat Daerah Bera melibatkan suku Semelai yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Ibam di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua PeKa B40 Negeri Pahang, Mohd Fadzrel Abu Bakar dan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Bera, Dr Azuwa Arif.

Ujar beliau, buat masa ini seramai 4,628 Orang Asli dari seluruh negara telah menjalani saringan kesihatan sejak 2019 hingga Ogos lalu.

"Daripada jumlah itu, seramai 2,983 orang telah membuat saringan dari tahun 2019 hingga 2021 manakala 1,645 orang pada Januari hingga Ogos tahun ini.

DR ANAS

"Bagi negeri Pahang pula, terdapat peningkatan iaitu seramai 253 Orang Asli telah menjalani saringan pada tahun ini sehingga Ogos lalu berbanding 133 orang bagi tempoh 2019 hingga 2021,” kata Anas.

Tambah beliau, program di Kampung Ibam itu mendapat kerjasama Klinik Kesihatan (KK) Bandar Bera 32 dan menyasarkan kira-kira 120 suku Semelai menyertainya.

Jelasnya, program sama turut diadakan di Sungai Isap Murni dan Inderapura di Kuantan serta Tanah Rata, Cameron Highlands pada tahun ini dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya KK dan klinik swasta yang berdaftar di bawah Skim PeKa B40.

"Dengan program jangkauan luar ini juga dapat membantu orang ramai mengesan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, kanser dan kesihatan mental dengan lebih awal dan membantu mereka mendapatkan rawatan sewajarnya dengan memanfaatkan insentif yang ditawarkan oleh skim PeKa B40.

"Kita banyak melihat situasi mereka yang berada di fasa tiga atau empat seperti penyakit kanser kerana lambat membuat saringan,” jelasnya.

Sambut baik

RAMAN


Sementara itu, Batin Kampung Ibam, Raman Mat, 52, memuji usaha yang dijalankan oleh ProtectHealth bagi suku Semelai di perkampungan berkenaan.

"Terima kasih kerana mengadakan program sebegini di Kampung Ibam sekali gus memberi peluang kepada penduduk mengetahui skim yang ditawarkan oleh kerajaan.

"Bila diberitahu ada program ini di sini, penduduk teruja dan tidak mahu melepaskan peluang membuat saringan dan berharap ia dapat diadakan lebih kerap lagi,” ujar beliau yang turut serta melakukan saringan kesihatan.

MALIM


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Ibam, Malim Acong, 50, pula meminta masyarakat Orang Asli tidak melepaskan peluang yang disediakan ini.

Beliau mengakui masih terdapat masyarakat Orang Asli yang masih bergantung dengan rawatan tradisional.

"Saya juga berharap lebih banyak aktiviti sebegini dijalankan di kampung- kampung Orang Asli di Daerah Bera,” ujar Malim.

Mohd Sharif Ajik, 53, mengakui tidak mengetahui tentang insentif yang ditawarkan melalui skim PeKA B40 untuk golongan sepertinya.

"Memang saya tak tahu langsung mengenai skim ini. Bila dapat maklumat ada program di sini, saya terus datang.

"Lega bila tahu ada banyak manfaat perubatan untuk golongan seperti kami dan saya berharap ia lebih dipromosikan secara meluas di kalangan masyarakat Orang Asli,” tambahnya.

MARIANA


Seorang lagi penduduk, Mariana Mohd Khalid, 37, gembira kerana kampungnya terpilih untuk program tersebut.

"Walaupun umur belum 40 tahun, sekurang-kurangnya saya mendapat maklumat mengenai PeKa B40 dan boleh berkongsi maklumat dengan orang lain,” katanya.

Skim PeKa B40 yang dilancarkan pada April 2019 dikendalikan oleh ProtectHealth, anak syarikat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit.

Sebanyak empat manfaat ditawarkan dalam skim tersebut iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.