Operasi di Loji Nuklear Zaporizhzhia dihentikan sepenuhnya

Iklan
Gambar diambil semasa lawatan dianjurkan oleh tentera Rusia menunjukkan pengawal tentera Rusia di wilayah Loji Nuklear Zaporizhzhia di Enerhodar, tenggara Ukraine pada 1 September lalu. - Foto EPA

ISTANBUL - Ukraine pada Ahad memaklumkan operasi di loji tenaga nuklear terbesar Eropah telah dihentikan sepenuhnya.

Reaktor terakhir loji Zaporizhzhia telah diputuskan daripada grid kuasa pada 3.41 pagi (0041GMT), lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan pengendali kuasa atom Ukraine, Energoatom.

Iklan
Iklan

Loji yang di bawah kawalan Rusia sejak Mac itu telah terputus daripada grid kuasa pada Isnin lalu, susulan kebimbangan semakin meningkat mengenai bencana nuklear ketika Moscow dan Kiev saling tuduh-menuduh terhadap serangan ke atas kemudahan itu.

Energoatom memaklumkan talian elektrik telah dipulihkan pada Sabtu bagi membolehkan pegawai menutup unit kuasa No 6 dan menukarkannya kepada keadaan paling selamat - penutupan.

Iklan

Agensi itu memberi amaran bahawa risiko kerosakan dan bekalan kuasa terputus untuk berulang kekal tinggi.

Dalam senario sedemikian, loji itu perlu menggunakan kuasa diesel, dengan sumber terhad, menurut kenyataan itu.

Iklan

Zaporizhzhia, antara 10 loji tenaga nuklear terbesar di dunia, menjana 20 peratus tenaga elektrik Ukraine sebelum krisis.

Sepasukan pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) diketuai Rafael Grossi memeriksa kemudahan itu minggu lalu.

Semasa memberi taklimat mengenai laporan berkaitan keadaan loji berkenaan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Grossi berkata, kerosakan akibat serangan ke atas kemudahan itu sama sekali tidak boleh diterima, memberi amaran bahawa ia seperti bermain dengan api dan boleh membawa kepada malapetaka.

Kenyataan Energoatom juga menyeru Rusia untuk mengundurkan tenteranya dari kawasan itu dan mewujudkan zon bebas tentera. - Bernama