Daing Sulaiman juara keseluruhan POPIC 2022

Iklan
Daing Sulaiman dinobatkan selaku juara keseluruhan bagi kategori kebangsaan lelaki TK1 POPIC 2022 di Pantai Teluk Cempedak pada Ahad. - Foto POPIC 2022

PENDAYUNG Terengganu, Daing Sulaiman Daing Suhaimi tidak menyangka dirinya dinobatkan selaku juara keseluruhan bagi kategori kebangsaan lelaki TK1, Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) di Pantai Teluk Cempedak, pada Ahad.

Menurut Daing Sulaiman, persaingan yang diterimanya sejak perlumbaan Peringkat 1, sememangnya agak sengit ditambah dengan kehadiran peserta pilihan seperti Adib Kamaruzrizan dan Freddy Anggang.

Iklan
Iklan

"Syukur alhamdulillah atas kemenangan hari ini, saya memang tak menjangkakan dapat meraih gelaran juara keseluruhan dalam kategori ini (kebangsaan TK1 lelaki) sebab persaingan memang sengit sejak perlumbaan Peringkat 1 lagi.

Kejaayan Daing Sulaiman pada kejohanan kanu antarabangsa berkenaan manis apabila dia turut muncul juara Peringkat 5 yang melibatkan laluan perlumbaan sejauh 20 kilometer (km) di pantai peranginan terkemuka itu.

Daing Sulaiman (tengah), bersama hadiah yang dimenanginya.

Iklan

Selaku juara keseluruhan, Daing Sulaiman yang turut menjuarai perlumbaan Peringkat 4 di Pantai Cherating pada Sabtu membawa hadiah wang tunai berjumlah RM3,500 selain turut meraih RM800 selaku pemenang peringkat.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Iklan

Dalam kategori kebangsaan TK2 lelaki, gandingan berpengalaman yang mewakili Pahang, Ahmad Azfaruddin Lukman-Imam Sujadi Satta, membuktikan kejaguhan mereka apabila muncul juara keseluruhan dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Selain mengungguli Peringkat 5, Azfaruddin-Imam Sujadi turut tampil cemerlang apabila menjuarai Peringkat 1, 2 dan 4 selepas kemenangan mereka pada Peringkat 3 ditarik balik ekoran dikenakan penalti akibat kesalahan tidak mengikut laluan sepatutnya.

Ahmad Azfaruddin-Imam Sujadi mengungguli kategori TK2 lelaki POPIC 2022 di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan pada Ahad. - Foto POPIC 2022

"Alhamdulillah segala perit jerih selama lima hari berakhir dengan kejayaan penuh istimewa ini.

"Walaupun ada sedikit masalah pada awal perlumbaan hari ini (Ahad), tetapi kami masih dapat mengejar peserta lain untuk meraih kemenangan," jelas Imam Sujadi.

Bagi kategori kebangsaan TK2 wanita, pasangan adik beradik dari Terengganu, Norazita-Nursaibah Syahida Ibrahim menyambar gelaran juara keseluruhan selepas mereka menyapu bersih kemenangan dalam kesemua lima peringkat.

Norazita-Nursaibah Syahida nyata berada dalam kelas tersendiri untuk membawa pulang RM5,000 selaku juara keseluruhan selain turut mengumpul hadiah wang tunai RM7,500 hasil kejayaan mereka memenangi lima peringkat perlumbaan.

Bagi kategori inter-varsiti lelaki dan wanita masing-masing dimenangi pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Tuan Muhamad Hidzam Tuan Dolah-MohdAzman Ibrahim dan gandingan dari Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nur AleyaNafisha Norhanafi-Alya Athirah Shaharaziz.

Selaku juara keseluruhan kategori yang melibatkan laluan sejauh enam kilometer dalam kesemua lima peringkat itu, Tuan Muhamad Hidzam-Mohd Azman dan Nur AleyaNafisha-Alya Athirah masing-masing merangkul hadiah wang tunai RM4,000.

Mohd Sharkar (tujuh, dari kanan) bersama para pemenang POPIC 2022 di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan pada Ahad. - Foto POPIC 2022

Acara kemuncak POPIC 2022 bagi kategori antarabangsa menyaksikan bekas juara dunia dari Afrika Selatan, Dawid Mocke dan Danielle McKenzie (New Zealand) mengesahkan kejuaraan masing-masing dalam saingan lelaki dan wanita.

Tampil selaku pendayung pilihan atas reputasi mereka selaku bekas juara dunia,Mocke, pemenang empat peringkat dan McKenzie, pemenang lima peringkat perlumbaan, masing-masing menyambar hadiah wang tunai RM15,000 selepas muncul juara keseluruhan.