KUALA LUMPUR - Berang dengan sebuah kereta yang didakwa menghalang lalu lintas, seorang lelaki bertindak merosakkan nombor pendaftaran kereta terbabit dalam kejadian di Jalan Kuchai Maju 1 di sini pada Ahad.
Tindakan individu itu bagaimanapun mengundang padah apabila aksinya itu berjaya dirakam kamera papan pemuka sebuah kereta sebelum video tersebut menjadi tular di Facebook.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kejadian.
"Setakat ini masih belum terdapat sebarang laporan berhubung kejadian, namun siasatan akan dijalankan berhubung kejadian ini.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil memberi keterangan menerusi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada Ahad, sebuah video durasai 42 saat dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook memaparkan seorang lelaki bertindak mencabut nombor pendaftaran sebuah kenderaan dipercayai Perodua Viva.
Individu berkenaan turut bertindak mencampak nombor pendaftaran itu di atas jalan raya.