SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pas kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan penyatuan ummah termasuk UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama) terutama dalam membina negara yang baik dan diredai tuhan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang pada Ahad.
"Pas memutuskan untuk terus konsisten dan komited dengan agenda penyatuan ummah yang menjadi paksi utama kepada perpaduan nasional di antara orang Melayu-Islam, bumiputera dan rakyat pelbagai kaum di negara ini."Keadaan ini sekali gus akan menjadi formula utama ke arah kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya menerusi satu kenyataan.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO perlu bergerak ke depan memandangkan Pas hanya menawarkan kerjasama politik yang disifatkan 'dangkal' dalam Muafakat Nasional (MN). Katanya, kestabilan, keyakinan dan kerjasama kukuh dalam MN tidak dapat dijalin, lebih-lebih lagi Pas menjalinkan hubungan dengan parti yang secara jelas mahu menghancurkan UMNO dari luar dan dalam.
Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan menganggap kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tidak mewakili pendirian UMNO secara keseluruhan dan menegaskan sebarang kenyataan Ahmad Zahid yang menolak kerjasama bersama Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah keputusan UMNO sepenuhnya.
Takiyuddin menegaskan, keputusan itu juga selaras dengan tuntutan ALLAH SWT dalam surah al-Maidah ayat dua yang bermaksud 'Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan'.
Sehubungan itu, menurut beliau, Pas akan terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan bersama semua rakan-rakan ta’awun dengan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan sebarang jurang perbezaan demi kebaikan negara dan rakyat.
"Ini adalah juga selaras dengan usul yang dibawa oleh Dewan Ulamak Pas Pusat dan disokong sebulat suara dalam Muktamar Pas Ke-68 di Alor Setar baru-baru ini.
"Pas amat yakin hanya dengan perpaduan di antara parti-parti Melayu-Islam sahaja akan dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya seterusnya akan diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu sejarah hitam lampau berulang kembali," ujarnya.
Kata Takiyuddin, Pas juga tetap dengan penegasan tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan tidak menerima konsep 'khemah besar' tajaan mana-mana pihak sekalipun dalam menghadapi PRU15.