Kemeriahan sambutan Pesta Kuih Bulan di China

Iklan
Kuih Bulan merupakan salah satu hidangan istimewa pada perayaan ini. Kuih Bulan diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin.

BAGI 1.4 bilion rakyat di tanah besar China, Perayaan Pertengahan Musim Luruh adalah antara sambutan yang amat dinanti-nantikan kerana ia merupakan perayaan kedua terbesar di sini.

Perayaan Pertengahan Musim Luruh atau Zhongaiu Jie (dalam bahasa Cina) juga boleh dipanggil sebagai Perayaan Bulan atau Pesta Kuih Bulan.

Iklan
Iklan

Mengapa bulan? Bulan mempunyai kepentingan tertentu dalam budaya Cina. Berdasarkan sejarah, semasa perayaan zaman dahulu, kebanyakannya berkaitan dengan pergerakan bulan.

"Bulan juga melambangkan kecerahan dan kelembutan yang membawa kegembiraan kepada manusia.

Iklan

"Ia juga merupakan saksi Tuhan atas setiap perbuatan,” cerita seorang warga lelaki China yang kelihatan berusia dalam lingkungan 30-an.

Selain itu, mitologi mengatakan bahawa pada zaman dahulu, bumi mempunyai 10 matahari yang menghanguskan dunia.

Persembahan yang dikendalikan oleh penganjur sempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh.

Iklan

Seorang pemanah terkenal bernama Hou Yi menarik busurnya dan menembak sembilan matahari bagi menyelamatkan manusia. Atas tindakannya, para dewa memberinya pil keabadian dan diserahkan kepada isterinya, Chang'e untuk disimpan.

Bagaimanapun, salah seorang pengikutnya, Peng Meng cuba mencuri pil tersebut semasa Hou Yi sedang berburu. Jadi, Chang'e menelannya untuk mengelakkan ia jatuh ke tangan Peng Meng.

Chang’e menjadi abadi dan terapung ke bulan serta menjadi tempat tinggal selamanya di bulan.

Pada masa sama, Pertengahan Musim Luruh disambut untuk meraikan hasil daripada penuaian padi dan buah-buahan yang dilakukan sebelumnya.

Ia untuk meluahkan rasa berterima kasih atas tuaian, selain menggalakkan lagi penuaian dengan lebih baik pada tahun akan datang.

Perayaan tersebut kebiasaannya disambut pada hari ke-15, bulan kelapan dalam kalendar lunar setiap tahun. Tahun ini ia diadakan pada 10 September iaitu pada hari Sabtu.

Meskipun ia adalah perayaan kedua terbesar, namun ia tidak diraikan secara besar-besaran di sini. Ia lebih menarik untuk disambut bersama ahli keluarga tersayang sahaja di rumah.

Jadi, ahli keluarga akan berkumpul untuk makan malam bersama, menyembah bulan, menyalakan tanglung kertas dan paling utama adalah makan kuih bulan sambil melihat bulan purnama.

Dalam tradisi Cina, bulan purnama melambangkan pertemuan semula keluarga. Disebabkan itu, sambutan hanya dirayakan di rumah.

Orang ramai mengagumi bulan dan makan kuih bulan yang disumbat dengan pelbagai inti. Daripada kuning telur masin tradisional dan pes teratai kepada versi kontemporari dengan inti aiskrim, buah-buahan serta kastard.

Kuih bulan yang paling popular dan sering menjadi hidangan adalah kuih bulan gaya Kantonis, Beijing serta Su (Suzhou). Gaya Beijing lebih terkenal dengan kesedapan dan klasiknya.

Bukan sahaja di China, perayaan itu turut disambut oleh negara Asia yang lain, antaranya Singapura, Vietnam, Jepun, Filipina dan tidak ketinggalan Malaysia.

Bagi para wartawan yang kini sedang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC), kami juga tidak terlepas meraikannya bersama meskipun ada yang tidak bersama keluarga.

Wartawan dari Asia Pasifik semasa sambutan Perayaan Pertengahan Musim Luruh

Kami dibawa ke rumah agam klasik yang dibina pada 1648. Sebelum meraikannya, kami diperkenalkan dengan aktiviti kebudayaan dan tradisional masyarakat China.

"Ini pengalaman yang baik dan berharga bagi kami wartawan di sini. Meskipun tidak di samping keluarga, kami meraikan bersama kerana kami seperti keluarga.

"Ia adalah antara kenangan terindah sepanjang saya berada di sini. Terima kasih Persatuan Diplomasi Awam China atas anjuran ini,” kata salah seorang peserta.

Bagi wartawan dari Lebanon, Mahdi Dirani dengan nada penuh teruja dan gembira berkata:"Ia adalah pengalaman baharu bagi saya. Sebelum ini saya tidak pernah meraikannya di negara saya. Ini kali pertama saya.”

*Nazrin Zulkafli merupakan wartawan Sinar Harian yang kini sedang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) di Beijing, China.