CUTI penggal persekolahan selama 10 hari melabuhkan tirainya pada Ahad. Sudah tentulah anak-anak paling gembira menanti segala perancangan dan program sepanjang cuti persekolahan.
Lupakan seketika buku sekolah. Mereka terus mewarnai dunia dengan tawa riang. Bagi yang berkemampuan, sudah tentu lokasi pelancongan luar negara menjadi pilihan, paling tidak ke negara jiran, contohnya Hatyai, Thailand atau Batam, Indonesia.
Namun, jika ibu bapa mempunyai bajet terhad, cukuplah sekadar ambil angin di dalam negara. Produk ekopelancongan seperti sungai dan pantai atau pusat beli-belah turut menjadi tumpuan sehingga pengguna jalan raya terpaksa merempuh kesesakan meskipun cuti sekolah.
Di saat ibu bapa berusaha mencipta senyuman si kecil sepanjang cuti persekolahan, ada beberapa berita yang tidak enak didengari.
Pertama, pendedahan pelakon cilik dan berbakat besar yang mendakwa diganggu secara seksual dan diabaikan oleh bapanya.
Lebih memeranjatkan lagi, pelakon itu mendakwa keperitan tersebut terpaksa ditanggungnya sejak kecil.
Pelakon berkenaan yang kini berusia 15 tahun bijak memainkan wataknya menutup sisi gelap kehidupannya tanpa sesiapa tahu lakaran kisah dilaluinya sehingga dia sendiri membuka mulut menerusi sebuah program di saluran YouTube.
Sekiranya benar segala yang diperkatakan, bayangkan betapa sukarnya apabila hak dia sebagai kanak-kanak yang sedang membesar untuk mendapatkan kasih sayang insan bergelar bapa dinafikan.
Dengarnya, bapa pelakon itu kini berada dalam tahanan reman untuk membantu siasatan berhubung perkara tersebut, jadi kita serahkan semuanya kepada pihak berkuasa.
Selain itu, jangkaan kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan pada penghujung tahun nampaknya meleset apabila Bank Negara mengumumkan kenaikan ketiga tahun ini pada Khamis dengan 25 mata asas, menjadikan kadar ketika ini adalah sebanyak 2.50 peratus.
Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan, masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.
Inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berpurata hampir pada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0-3.0 peratus tahun ini dengan beberapa tanda wujudnya tekanan didorong oleh permintaan dalam keadaan kos tinggi.
Kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi dengan sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang masih wujud dalam ekonomi.
Khabar itu sedikit sebanyak mengganggu mood cuti persekolahan bagi mereka yang mempunyai komitmen dengan bank kerana terpaksa membayar pinjaman lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Kepala mulalah ligat memikirkan di mana dan bagaimana lagi mahu menambah pendapatan agar senyuman anak-anak yang menanti di rumah terus berpanjangan.
Masakan tidak, serba-serbi terasa perit. Harga barang dan perkhidmatan sudah tentulah turut meningkat.
Fikir sana, fikir sini, redah dan tawakal sahajalah, sambil berjimat cermat dan lupakan perbelanjaan yang tidak perlu.
Berita ketiga pada Jumaat lalu, polis mengesahkan menahan seorang selebriti lelaki yang didakwa melakukan amang seksual ke atas remaja dan kanak-kanak lelaki.
Jantung bagaikan berdegup laju ketika membaca laporan berita tersebut. Anak lelaki juga tidak terlepas menjadi mangsa kerakusan nafsu sang pedofilia
Akhir-akhir ini memang banyak kes dilaporkan yang melibatkan seksual dan kanak-kanak.
Senyuman yang sepatutnya terukir, akhirnya bertukar menjadi tangisan dan duka-lara.Sekiranya tidak ditangani dan dirawat dengan baik, trauma pasti akan menghantui sepanjang hayat kanak-kanak tersebut.
Setuju atau tidak, kita berada dalam situasi getir pembinaan keluarga. Sama ada dari segi sosial, pendidikan mahupun ekonomi, percaturan perlu dibuat oleh ibu bapa bagi memastikan nasib anak-anak terbela dan mereka dapat terus melihat si kecil mengukir senyuman paling manis.
*Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian