KUALA LUMPUR - Negara mampu selesaikan isu ekonomi melibatkan kenaikan harga sekiranya barisan kepimpinan bersifat bertanggungjawab, tidak tamak dan memikirkan kepentingan rakyat.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun kerajaan menubuhkan pelbagai jawatankuasa bagi mengatasi permasalahan tersebut, namun pengumuman yang jelas juga perlu disampaikan kepada rakyat.
"Yang jelas, harga terus melambung naik kerana harga import naik. Harga import naik sebab ringgit Malaysia jatuh.
"Harga jatuh kerana ia tidak stabil sebab orang tak yakin dan pelabur tidak masuk.
"Jadi semua kena faham mengapa kita tumpu soal (isu) ekonomi kerana ini menyentuh soal rakyat. Itu yang pertama kita kena ingat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Rapat Mega Keadilan di Tapak Bazar Ramadan Taman Melawati pada Ahad.
Turut hadir Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim.
Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, rakyat perlu bangkit menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menolak pimpinan yang bersifat korupsi dan mengabaikan amanah rakyat serta negara.
"Ini pendirian kita. Mana-mana perubahan mesti tegap dengan prinsip ini.
"Kalau rakyat ada kesedaran dan ada keberanian bermula di kawasan Gombak dan Selangor, kemudian Negeri Sembilan, saya yakin kita akan mencatat sejarah betul-betul bermakna reformasi dalam pilihan raya akan datang," ujarnya.