SKUAD Bayern Munich perlu berwaspada terhadap ancaman yang bakal diterima daripada Barcelona pada aksi Kumpulan C, Liga Juara-Juara di Allianz Arena pada Rabu.
Menurut Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic, Barcelona pasti hadir dengan bersemangat hasil kemenangan 5-1 terhadap kelab Republik Czech, Viktoria Plzen pada aksi 8 September lalu selain turut mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Cadiz dalam saingan La Liga baru-baru ini.
"Bagaimanapun, saya percaya pengendali Bayern, Julian Nagelsmann sudah pun merangka strategi tersendiri bagi mengharungi perlawanan ini seterusnya menghasilkan kejayaan," katanya.
Untuk rekod, Bayern menewaskan gergasi Serie A, Inter Milan di San Siro pada 8 September lalu, namun sekadar terikat 2-2 pada aksi Bundesliga berdepan VFB Stuttgart baru-baru ini.
Sementara itu, Salihamidzic menegaskan kehadiran semula penyerang profilik Bayern yang kini bersama Barcelona, Robert Lewandowski ke Allianz Arena pada Rabu tidak akan mengalihkan fokus pemain.
Katanya, kesemua pemain telah diingatkan untuk kekal fokus di sepanjang perlawanan dalam usaha merealisasikan kemenangan di hadapan ribuan penyokong sendiri.
"Bagi saya, dia (Lewandowski), merupakan seorang penyerang yang baik, namun kehadirannya diharap tidak menganggu konsentrasi pemain.
"Ini disebabkan pemain kami khususnya di benteng pertahanan telah diberikan tanggungjawab untuk mengawal pergerakannya di sepanjang perlawanan," jelas beliau.