KUALA TERENGGANU - Pengumuman peratusan hibah sebanyak 1.25 peratus yang disifatkan sebagai paling rendah dalam sejarah menggambarkan kerapuhan institusi kewangan milik umat Islam itu.
Ketua Pemuda Umno Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, pengumuman itu juga dipercayai akan menghilangkan kepercayaan pendeposit terhadap tabungan itu.
"Jumlah hibah 1.25 peratus tidak masuk akal dalam pengurusan sekarang malah ia membuktikan pengurusan sekarang tiada kredibiliti untuk mengurus aset milik umat Islam.
"Ini umpama permulaan baharu kepada zaman 'kegelapan' TH dibawah pentadbiran PH," katanya.
Mengulas tindakan kerajaan yang masih menyalahkan kerajaan terdahulu, katanya, ia adalah tohmahan kerana peratusan hibah yang diumumkan sekurang-kurangnya 3 peratus.
"Kalau kerajaan sekarang salahkan kerajaan lama, mereka dah ambil alih pemerintahan hampir setahun.
"Sepatutnya mereka boleh fikirkan untuk bangunkan institusi kewangan milik umat Islam itu, bukannya tidak habis-habis menyalahkan kerajaan terdahulu," katanya.
Katanya, apa yang berlaku membuktikan kerajaan cuba merosakkan institusi kewangan itu tanpa sedar.
"Jadi, kita menggesa perdana menteri untuk melihat perkara ini secara serius dan asingkan kuasa menteri daripada terus mencampuri urusan TH," katanya.
Terdahulu, Lembaga TH mengumumkan agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus.