MELAKA - Penggunaan statistik atau data semasa amat penting dalam mengurus tadbir negara di semua peringkat agar strategi dan tindakan yang bakal dilaksanakan kerajaan dapat memberi impak yang besar khususnya kepada rakyat.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, justeru pihaknya sentiasa memastikan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengemas kini data berkaitan kependudukan di negara ini dalam pelbagai aspek seperti ekonomi dan demografi sosial dari semasa ke semasa untuk kegunaan kerajaan, penjawat awam dan wakil rakyat.
Beliau berkata, selain itu, data semasa berkenaan juga dapat membantu pemimpin atau kerajaan menggubal sesuatu polisi dan menentukan pencapaian yang ingin disasarkan.
"Dengan adanya data yang tepat dan semasa, agak sukar bagi sesuatu tindakan atau langkah yang dilakukan salah kerana menerusi data, ia akan membantu menentukan pilihan terbaik bagi menyelesaikan sesuatu isu atau masalah.
"Selain itu, data semasa juga penting bagi memastikan sumber negara, masa dan tenaga yang digunakan tidak dibazirkan sebaliknya memberi impak dalam kehidupan rakyat," katanya kepada pemberita selepas Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Sosioekonomi 2021 Negeri Melaka di sini, pada Isnin.
Siri jelajah berkenaan dirasmikan Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Pengarah DOSM Melaka, Mazreha Ya'akub.
Mohd Uzir berkata, menerusi data yang tepat juga, pengagihan peruntukan bagi pelaksanaan sesuatu inisiatif, projek atau program berkaitan rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
"Data semasa yang DOSM peroleh adalah menerusi inisiatif turun padang berjumpa rakyat tentang pelbagai isu seperti akses kepada kemudahan, kesihatan dan keperluan lain yang diperlukan," katanya sambil menambah data banci DOSM juga penting kepada peniaga dan pelabur bagi melihat keperluan membuka perniagaan di sesuatu kawasan.
Sementara itu, katanya, penyediaan data banci di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen adalah pertama kali dilakukan DOSM dalam sejarah negara bagi memudahkan wakil rakyat meneliti keperluan penduduk di kawasan mereka.
Malaysia mempunyai 222 kerusi Parlimen dan 600 kerusi DUN secara keseluruhannya. - Bernama