PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperincikan garis panduan berkaitan pemilihan penceramah untuk program di sekolah termasuk ceramah motivasi kata, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif di sini pada Isnin, Mohd Radzi berkata, antara perkara yang akan diperhalusi adalah berkaitan kebebasan pihak sekolah memilih sendiri penceramah luar.
"Berkaitan dengan (program) motivasi di sekolah, kenapa kita tak bagi sekolah autonomi dalam perkara tertentu. Kalau kita tak pantau, ada lebih 10,000 sekolah dan kita akan dapati nanti macam-macam pendekatan digunakan sekolah untuk program motivasi.
Selebriti lelaki itu yang telah ditahan polis Khamis lepas di Selangor, dipercayai berkenalan dengan mangsa dalam program motivasi di sekolah. Sehingga kini, terdapat enam laporan polis telah dibuat terhadap penceramah bebas yang direman enam hari sehingga 14 September ini.
Mohd Radzi berkata, sehingga garis panduan khusus dibangunkan kelak, garis panduan dan pekeliling sedia ada akan terus dikuatkuasakan dan terpakai.
"Sekarang ini garis panduan sedia ada terpakai sehingga kita membuat garis panduan atau pekeliling yang berikutnya dan dalam isu ini, kita mahu capai keseimbangan yang sebenar dalam setiap perkara ini dan kita perlu melakukan penelitian terlebih dahulu sebelum kita putuskan sesuatu," katanya.
Mohd Radzi berkata, KPM memandang serius isu berkenaan dan dalam masa yang sama mahu memastikan sekolah merupakan tempat yang selamat untuk pelajar.
"Sekolah semua berniat baik, ingin dapatkan penceramah-penceramah dari pelbagai konteks untuk beri motivasi kepada murid-murid ini tapi kadang-kadang berlaku kes tertentu seperti yang dibangkitkan," katanya. - Bernama