Perdana Menteri ucap takziah kepada keluarga nahas helikopter

Iklan
Ismail Sabri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Tsz Kin Richard, juruterbang terkorban dalam nahas helikopter jenis Eurocopter EC120B di kawasan Hutan Simpan Chikus di Bidor.

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga juruterbang, Tsz Kin Richard Chan, mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter jenis Eurocopter EC120B di kawasan Hutan Simpan Chikus di Bidor pada Ahad.

Ismail Sabri menerusi ciapan di Twitter berharap agar ahli keluarga mangsa tabah menghadapi ujian yang melanda.

Iklan
Iklan

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh anggota misi menyelamat yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Jabatan Perhutanan dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

"Takziah saya ucapkan kepada keluarga mangsa nahas helikopter Eurocopter, Tsz Kin Richard Chan yang ditemukan di Hutan Simpan Chikus pagi tadi.

Iklan

"Saya berharap seluruh keluarga mangsa tabah dalam menghadapi dugaan ini,” katanya pada Isnin.

Sinar Harian melaporkan juruterbang yang dilaporkan hilang selepas helikopter jenis Eurocopter EC120B kendaliannya terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada Ahad disahkan maut.

Iklan

Tsz Kin Richard, 58, warganegara Hong Kong berjaya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dari kawasan Hutan Simpan Chikus di sini sekitar jam 10.12 pagi selepas 22 jam helikopter berkenaan dilaporkan hilang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian ditemukan dalam kokpit helikopter terbabit.