UPKO cadang kerusi Parlimen Kota Belud ditambah

Iklan
Ewon (dua dari kiri) menghadiri mesyuarat UPKO Kota Belud di Pejabat Khidmat ADUN Kadamaian, Kota Belud pada Isnin.

KOTA BELUD - Kerusi Parlimen Kota Belud dicadangkan supaya ditambah apabila kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya dilaksanakan di negeri ini pada 2025.

Cadangan itu dikemukakan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud yang melihat kawasan Parlimen Kota Belud luas dan mempunyai penduduk yang ramai.

Iklan
Iklan

Naib Presiden UPKO yang juga Ketua Bahagian UPKO Kota Belud, Datuk Ewon Benedick berkata, ia selaras dengan komitmen kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan semula jumlah 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.

"UPKO mencadangkan supaya Parlimen Kota Belud dipecahkan kepada dua iaitu Kadamaian dan Kota Belud.

Iklan

"Ini juga selaras dengan komitmen kerajaan Persekutuan untuk menyemak semula jumlah wakil Sabah dan Sarawak dalam Parlimen.

"Saya juga bersetuju dengan langkah mendapatkan semula 35 peratus kerusi Parlimen seperti yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat UPKO Kota Belud di Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian di sini pada Isnin.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen bahawa kerajaan akan memberi perhatian terhadap isu berbangkit di Sabah dan Sarawak, termasuk berkaitan jumlah wakil di dua negeri itu di Parlimen.

Mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ewon yang juga ADUN Kadamaian berkata, walaupun PRU15 mungkin tidak diadakan tahun ini, namun parti-parti gabungan Pakatan Harapan (PH) sudah mengadakan persiapan awal dari segi pembahagian kerusi seterusnya mengenl pasti calon yang sesuai.