SHAH ALAM - Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hulu Langat bakal menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) dalam membantu mangsa bencana di Parlimen Hulu Langat.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, kumpulan pertama itu akan terdiri daripada 100 hingga 120 anggota terdiri daripada semua peringkat umur termasuk penduduk Orang Asli.
Menurutnya, pasukan itu juga telah dihantar menjalani kursus asas CDERT di bawah kendalian Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Selangor dan yang pertama melibatkan Orang Asli.
"Sebagai permulaan peserta terbabit dipilih dari tujuh buah kampung di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dan tujuh lagi Kampung Orang Asli (KOA) dalam Parlimen Hulu Langat.
"Pasukan dikenali sebagai CDERT Parlimen Hulu Langat ini bakal dilancarkan di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Lui pada Rabu ini," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.
Hasanuddin yang juga merupakan Kolonel Kehormat Pertahanan Awam berkata, pasukan itu dilancarkan bagi memperhebatkan persediaan negara berdepan sebarang kemungkinan dalam menghadapi Monsun Timur Laut.
Pada Isnin, kerajaan memperhebatkan persediaan negara berdepan sebarang kemungkinan dalam menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini hingga Mac tahun depan dengan memperuntukkan lebih RM15 juta untuk pelbagai kesiapsiagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk Pengurusan Pengoperasian Bencana MTL 2022/2023 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi kegunaan di 160 daerah.
Tambah beliau, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM4.8 juta bagi menyediakan 320 buah bot fiber bersama dengan enjin untuk daerah-daerah terbabit sebagai usaha memperkasa peranan komuniti sebagai initial responder ketika berlakunya bencana.