KPDNHEP rampas beg tangan, pakaian berjenama tiruan

Iklan
Saharuddin (tengah) menunjukkan sebahagian barang jenama tiruan yang dirampas pada Selasa.

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas sebanyak 3,461 barangan berjenama disyaki tiruan bernilai RM68,040 pada Isnin.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, barangan terdiri daripada beg tangan dan pelbagai jenis pakaian berjenama itu dirampas dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Terengganu serta Hulu Terengganu yang diadakan serentak pada jam 2 petang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Operasi dijalankan adalah susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki barang berkenaan yang aktif diniagakan melalui platform media sosial seperti Facebook dan TikTok adalah tiruan.

Iklan

"Serbuan dilakukan oleh enam penguat kuasa KPDNHEP bersama wakil pemilik cap dagang berdaftar," katanya pada sidang akhbar di Setor Eksibit KPDNHEP Terengganu, Chendering di sini pada Selasa.

Saharuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki barang yang cap dagangan dipakaikan dengan salah bagi maksud perdagangan.

Iklan

"Kita minta orang ramai supaya lebih hati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga tidak beretika yang cuba mengambil keuntungan secara mudah," katanya.