SYARIKAT teknologi 3D Gens Sdn Bhd (3D Gens) tampil menjadi syarikat tempatan pertama di Malaysia menghasilkan implan khusus pesakit (PSI) dengan menggunakan cetakan logam 3D yang disasarkan kepada pesakit yang memerlukan bantuan tulang gantian.
Pengasas 3D Gens, Dr Izhar Aziz berkata, perkhidmatan yang menggunakan teknologi tempatan semata-mata itu ditawarkan bukan sahaja kepada pesakit di dalam negara malahan juga di luar negara.
"Perkhidmatan kami kini telah dieksport ke Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Eropah... dan kita menyasarkan untuk mengembangkan lagi perkhidmatan ke negara lain,” katanya berkata kepada Bernama dalam satu temu bual.
Ditubuhkan pada tahun 2016 dan mendapat bantuan daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), 3D Gens ataupun Generasi 3D, ditubuhkan dengan tujuan untuk mengindustrikan pemodelan 3D dan Pencetakan 3D.
Izhar berkata, penghasilan PSI menggunakan teknologi percetakan 3D logam adalah mengikut kesesuaian pesakit dan ia mampu memberikan hasil yang sama dan nilai estetik yang lebih baik berbanding kaedah konvensional.
Selain itu, katanya, penghasilan PSI memberikan kelebihan bukan sahaja kepada pesakit tetapi juga kepada hospital yang menggunakan teknologi tersebut dan ia juga mampu menjimatkan masa pembedahan disamping mengurangkan risiko pembedahan.
"Kaedah konvensional yang digunakan hospital sebelum ini mempunyai sedikit kekangan di mana ia tidak dapat menyelesaikan prosedur tertentu dan tidak dapat menyelesaikan kes-kes yang rumit.
"Tetapi dengan adanya teknologi terkini, semua ini dapat dielak dan pesakit mampu mendapat tulang implan seperti yang asal,” katanya.
Izhar berkata, syarikat tersebut menghasilkan PSI sebagai tulang gantian kepada pesakit yang mengalami trauma ataupun kecacatan akibat kemalangan terutama sekali di bahagian kepala.
"Visi utama 3D Gens adalah agar setiap medical device (peranti perubatan) ini mesti dilakukan secara customisation (penyesuaian) dan bukannya menggunakan saiz umum manakala misi utama kami adalah agar perkhidmatan pembedahan estetik tidak lagi dilakukan dengan protokol yang konvensional yang mengambil masa yang lama.
"Bagaimanapun, disebabkan teknologi ini masih di peringkat baharu, ia memerlukan penyediaan fasiliti dengan modal yang tinggi dan dengan adanya perkongsian strategik dengan MTDC, kami berjaya mendapat bantuan untuk membangunkan teknologi ini,” jelasnya.
Menurutnya, MTDC bukan sahaja memberikan bantuan dari segi dana tetapi ia juga khidmat nasihat agar syarikat tersebut terus maju dari segi pemasaran servis dan produk dan juga ilmu perniagaan untuk mengembangkan lagi operasinya.
"Dengan adanya perkhidmatan PSI ini, kita telah menghasilkan reka bentuk sehingga ke pembuatan peralatan perubatan tersebut dan ia dihasilkan dengan menggunakan teknologi tempatan,” tambahnya.
Sementara itu, Izhar berkata, syarikat tersebut menyasar untuk menjadi perintis dalam pembuatan digital yang berteraskan asas kukuh dalam CAD/CAM dan Teknologi Pembuatan Aditif.
Menurutnya, perkhidmatan 3D Gens turut melibatkan bidang lain termasuklah industri kejuruteraan, automotif dan aeroangkasa.
Syarikat itu bermula dengan menembusi industri perubatan Malaysia yang menangani bidang khusus seperti perancangan pembedahan dan implan dan peranti perubatan yang disesuaikan.
Susulan sambutan yang amat menggalakkan, ia merancang untuk mengembangkan perkhidmatan dalam segmen ortopedik, maksilofasial dan pergigian, katanya. - Bernama