KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor menyasarkan untuk menyiapkan keseluruhan projek pembangunan Taman Sungai Yu Indah yang tergendala sejak tahun 1996 sepenuhnya pada tahun depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek dibangunkan dengan kerjasama Syarikat Serambi Padu Sdn Bhd itu telah menyiapkan projek fasa satu membabitkan sebanyak 107 unit rumah teres kos rendah yang telah mendapat Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Menurutnya, projek tergendala selama 26 tahun itu dijangka dapat menyiapkan baki 120 unit rumah teres kos sederhana dalam fasa kedua dan 152 unit lagi rumah mampu milik satu setengah tingkat pada fasa 3A dan 120 unit lagi rumah sama bagi fasa 3B.
"Kerajaan negeri membuat perbelanjaan tinggi bagi membangunkan kawasan perumahan ini termasuk membina Indah Water Konsortium (IWK)," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kos Rendah Projek Taman Sungai Yu Indah pada Isnin.
Amirudin berkata, projek perumahan itu yang mula diserahkan bagi tujuan pembangunan sejak 26 tahun lalu mengalami masalah kelewatan akibat berapa isu dan masalah berbangkit.
Bagaimanapun katanya, kerajaan Selangor dapat menyelesaikan projek tergendala itu berikutan telah menukar status perumahan terbabit.
Ujar beliau, sebelum ini, perumahan itu dikategorikan sebagai kos rendah, namun seiring perubahan semasa ia ditukar kepada perumahan mampu milik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, pelaksanaan projek itu membuktikan PNSB prihatin terhadap mereka yang masih menanti projek perumahan tersebut sejak sekian lama.
Katanya, projek perumahan itu menawarkan pelbagai kemudahan komuniti seperti surau dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika).
"Selain itu, projek ini juga menyediakan dewan serbaguna, padang bola dan taman permainan khusus untuk komuniti menjalankan aktiviti bersama keluarga dan jiran tetangga.
"Selain itu, lokasinya juga strategik dengan akses mudah ke utara dan selatan negeri melalui lebuh raya sera berdekatan dengan Bandar Kuala Selangor serta Hospital Tanjong Karang," ujar beliau.