GEORGETOWN - Pertemuan lima kepimpinan tertinggi UMNO bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat itu mungkin diadakan lebih awal sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober depan.
Iklan
Iklan
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua keputusan akan dibuat oleh 'top five' UMNO dan jadi kita tunggu sehingga mesyuarat bersama top five diadakan.
"Kita akan buat secepat mungkin, mungkin awal sebelum pembentangan Bajet 2023," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis perasmian Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) Malaysia di Pusat Konvensyen Setia Spice, di Bayan Baru pada Selasa.
Sebelum ini, Ismail Sabri memaklumkan beliau belum berbincang dengan 'top five' UMNO berhubung tarikh PRU15.
'Top five' UMNO merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri.