KOTA BHARU - Polis sudah mengambil tindakan terhadap seorang lelaki yang membaling objek ke arah kenderaan dan pengguna jalan raya di kawasan lampu isyarat Kijang, Jalan Hamzah di sini.
Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek ditahan pada jam 8.40 pagi ketika rondaan anggota Task Force Balai Polis Kota Bharu yang terserempak dengan lelaki terbabit.
Menurutnya, polis bertindak selepas menerima aduan daripada orang ramai.
"Pada mulanya pemantauan selama 30 minit di kawasan itu tidak menemui lelaki terbabit.
"Rondaan anggota Unit Pelancong dan Rondaan Cegah Jenayah Balai Polis Kota Bharu kemudian digerakkan dan pemantauan telah menemui suspek," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini tular video di laman sosial memaparkan seorang lelaki yang tidak siuman membaling objek ke arah kenderaan dan pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.
Mohd Rosdi berkata, semakan mendapati, video itu dirakam pada 6 September kira-kira jam 5.40 petang.
Katanya, berlaku sedikit pergelutan tetapi suspek yang beralamat di Kampung Paloh, Pintu Geng di sini berjaya ditahan dan dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut.