29 lagi mangsa penipuan di Kemboja akan dibawa pulang

Iklan
Eldeen Husaini ketika ditemu bual bersama Bernama berkaitan sindiket penipuan pekerjaan yang melibatkan rakyat Malaysia di Kemboja hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA - Seramai 29 lagi rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja yang masih berada di depoh imigresen negara itu dijangka dibawa pulang secara berperingkat bermula hujung bulan ini.

Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata, proses membawa pulang mangsa terbabit dijangka selesai selewat-lewatnya pada Oktober.

Bercakap dalam temubual bersama Bernama pada Selasa, beliau berkata, walaupun mereka sebahagian daripada 53 mangsa yang diselamatkan baru-baru ini, namun mereka terpaksa ditahan terlebih dahulu berikutan tiada dokumen perjalanan yang sah. Baki 24 mangsa sudah kembali ke tanah air pada Jumaat lepas.

"Mangsa 29 orang ini tiada pasport, kalau ada pun (pasport) sudah mati atau mereka masuk melalui jalan tikus. Jadi mereka perlu disiasat (pihak berkuasa Kemboja) dan proses ini ambil masa lama sebab mangsa bukan dari Malaysia sahaja, ada dari Thailand, Vietnam, Indonesia dan sebagainya, jadi kita kena tunggu.

"Tetapi kami baru dapat makluman bahawa siasatan sudah hampir selesai dan kami akan cuba bawa pulang mereka secepat mungkin, namun tidak boleh bawa pulang sekali gus kerana kes mereka berasingan," katanya.

Selain itu, Eldeen Husaini berkata, 30 lagi rakyat Malaysia yang dilaporkan menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja sedang dicari pihak berkuasa negara itu.

"Secara keseluruhannya untuk tahun ini 148 orang (mangsa) dilaporkan kepada kedutaan dan kita sudah selamatkan 118 orang, jadi tinggal baki 30 orang masih belum dijumpai," katanya.

Pada Jumaat lepas, Eldeen Husaini bersama-sama Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengiringi seramai 24 mangsa, berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun, kembali ke tanah air.

Saifuddin dilaporkan berkata, beliau sempat melawat tujuh rakyat Malaysia yang berada di depoh imigresen di Phnom Penh semasa membuat lawatan kerja singkat ke negara itu, manakala 22 lagi mangsa dilaporkan berada di wilayah Sihanoukville, Kemboja. - Bernama