MALAYSIA bakal menjadi tumpuan pemain industri perdagangan antarabangsa pada Disember ini menerusi Pameran Antarabangsa Mesin Malaysia (MIMF) 2022 yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 Disember ini.
Timbalan Presiden Persatuan Perhubungan Perdagangan Antarabangsa China Malaysia (Macita), Profesor Datuk Dr Naim Mohamad berkata, pameran kali ke-33 itu melibatkan delegasi utama dari China yang akan berkongsi teknologi dan inovasi terbaharu kepada pemain industri tempatan dan antarabangsa.
"Secara tidak langsung pempamer tempatan dan luar negara berpeluang menerokai pasaran antarabangsa susulan pembukaan semula sempadan setelah terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.
"Pameran kali ini melibatkan 400 reruai dengan penyertaan utama adalah dari China. Selain itu India, Sepanyol, Indonesia, Thailand, Vietnam turut menghantar penyertaan dan 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pempamer pula adalah dari Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Prapelancaran MIMF 2022 pada Selasa.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang baharu, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.
Dalam pada itu, Naim memaklumkan, MIMF 2022 dijangka memberi pulangan perdagangan sebanyak RM100 juta dengan sasaran pengunjung seramai 20,000 orang sepanjang pameran berlangsung.
"Kita menganggarkan seramai 3,000 pembeli akan hadir ke pameran yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) nanti.
"Selain itu diadakan juga pameran secara dalam talian yang mana pempamer akan berkongsi pandangan, inovasi serta teknologi dengan prospek masing-masing,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, Macita turut menganjurkan Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia (MIBS) ke-17 dan Pameran Penjenamaan Malaysia Pertama (MyBrands) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2 hingga 4 Disember ini.