PETALING JAYA - Isu pembuangan bayi merupakan isu yang serius dan masa sama semua pihak perlu bersama dalam menangani perkara ini.
Exco Kesihatan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, isu ini sememangnya serius namun masa sama penyelesaian dan solusi terhadap masalah itu yang perlu dikenal pasti terlebih dahulu.
"Apa yang utama perlu difikirkan adalah mencari penyelesaian kepada masalah itu dan tidak berterusan menyalahkan pelaku.
"Mereka yang sudah terjebak dan ingin berubah, boleh pergi ke pusat kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Agama Islam Selangor.
"Dalam soal ini, kita tiada kuasa undang-undang untuk menghukum, jadi buat masa ini kita perlu terus dengan cara mendidik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai laporan media tempatan yang memaparkan tentang jumlah pembuangan bayi yang semakin meningkat kelmarin.
Katanya, isu pokoknya adalah masyarakat perlu membetulkan semula stigma terhadap anak luar nikah dan perlu bertanggungjawab menjaga anak itu.
"Kebimbangan keluarga terhadap cemuhan masyarakat antara salah satu punca utama terhadap masalah ini, perkara yang penting kita fikirkan adalah anak itu, kita perlu jaga dan selamatkan.
"Sebahagian masyarakat konservatif berpandangan jika diterima anak itu, ia akan jadi satu normalisasi lalu mengakibatkan orang tidak takut halal haram, tanggapan sebegini perlu diperbetulkan," katanya.