KOTA BHARU - Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah berkenan menerima menghadap Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan (PKDK) di Istana Negeri Kubang Kerian di sini pada Selasa.
Wajah baginda itu dimuat naik oleh laman sosial Facebook Unit Media Pejabat Sultan Kelantan.
Rombongan tersebut diketuai oleh Presiden PKDK, Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz dan beberapa ahli pertubuhan yang lain.
Hadir sama menyambut Sultanah Kelantan ialah Tengku Sri Kelana D’Raja Kelantan) Datuk Seri Raja Rezza Shah, Tengku Kaya Perkasa, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan pegawai-pegawai Istana Kelantan.
Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan mengurniakan cendera kenangan kepada semua ahli rombongan.
Sinar Harian pada 2 Ogos lalu melaporkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, pada Selasa berkenan mengisytiharkan isteri baginda sebagai Sultanah Kelantan dengan gelaran sebagai Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.
Pengisytiharan diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.