ALLIANZ Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) mengumumkan perkongsian dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyokong program atlet para negara sehingga menjelang temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.
Kerjasama itu juga menyaksikan Allianz Malaysia menyediakan sumbangan wang tunai kepada program atlet para kebangsaan.
Selain itu, Allianz Malaysia juga akan memberikan perlindungan untuk atlet semasa latihan, pertandingan termasuk perlindungan kecederaan dan perjalanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan MSN untuk menyokong atlet para negara menjelang temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.
"Kejayaan paralimpik Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini amat mengagumkan, dan melalui penajaan ini kami bukan sahaja berharap untuk memperkukuh program atlet para negara tetapi juga memperkasakan atlet bagi memenuhi potensi sukan mereka,” katanya.
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara MSN dan Allianz Malaysia berlangsung di Casa 4, MSN, Bukit Jalil pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail merakamkan penghargaan kepada Allianz Malaysia kerana menaja program atlet para kebangsaan.
"Kami sangat gembira kerana Allianz Malaysia telah tampil dan menaja atlet para negara yang mempunyai sumber terhad. Atlet kita bertaraf dunia dan memenangi pingat termasuk di Paralimpik.
"Untuk mereka terus menang dan mengharumkan nama negara memerlukan latihan intensif dan pertandingan yang kerap. Sumbangan Allianz Malaysia akan banyak membantu atlet para terutama menjelang Paris 2024.”
Allianz Malaysia juga melancarkan Program Allianz MoveForward untuk membantu atlet menjalani kehidupan secara mampan dengan menyediakan sesi bimbingan untuk membantu pembangunan kerjaya masa depan atlet para.