KENDURI adalah sesuatu yang menyeronokkan. Ia momen memahat kenangan bersama keluarga dan mempelai apabila diraikan bersama tetamu serta sanak-saudara.
Namun, rakaman kenangan manis pasangan mempelai itu kadangkala akan meninggalkan ‘kenangan pahit’ buat petugas-petugas yang ‘dipaksa’ bertugas sepanjang kenduri tersebut.
Kisah menggunakan anak-anak buah untuk menjadi sebahagian petugas majlis bersejarah bos itu menjadi persoalan terutama bagi penjawat awam di negara kita. Biasalah, bos buat kenduri kena bantu tetapi yang tidak baiknya adalah masa kerja telah dicuri atau digunakan bagi tujuan peribadi sahaja.
Kawan-kawan Merak Jalanan pernah mengeluh, misalnya apabila bos mereka mengadakan majlis keraian dan sebagainya, habis satu pejabat kena berkampung bagi meraikan tetamu undangan.
Itu tidak termasuk lagi kalau kena pakai pakaian sedondon. Semua itu adalah kos kepada petugas yang ketika ini dicengkam dengan keadaan ekonomi dan kenaikan harga barang.
Sebenarnya tanpa sedar atau buat-buat tidak sedar, staf itu tidak bercuti, cuma diberikan pelepasan bekerja sahaja.
Bayangkan pada hari berkenaan, hilang produktiviti kerja. Kalau bekerja, pelbagai perkara dapat dilakukan lagi untuk kebaikan organisasi atau majikan sebenar (kerajaan Malaysia).
Jika budaya itu berlaku dalam kakitangan kerajaan, ia amatlah malang dan boleh dikatakan ia adalah salah guna kuasa secara terang-terangan.
Ingatlah seperkara, bos bukan majikan sebenar, dia hanya pemudah cara sahaja. Namun, kata kawan Merak Jalanan, kalau memberontak, nanti akan dipulau atau diboikot dalam pejabat.
"Aku bukan nak acah-acah baik tetapi inilah hakikat berlaku dalam ekosistem pekerjaan sebenar,” katanya.
Sebagai staf dan penjawat awam, janganlah takut melaporkan perkara tersebut. Lagi anda diamkan, lagilah budaya itu akan berleluasa.