KOTA BHARU - Pekerja domestik di Kelantan perlu mengetahui hak bahawa majikan mereka wajib mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk mendapatkan perlindungan keselamatan dan kesihatan.
Sehingga kini kurang 10 peratus pekerja domestik didaftarkan sebagai pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) sejak dilancarkan pada 1 Jun tahun lalu.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Kelantan, Nora Yaakob berkata, pekerja domestik ialah mereka yang berkhidmat di rumah seperti pembantu rumah, pemandu peribadi, tukang kebun dan pengasuh bayi.
Menurut beliau, golongan pekerja ini bukan diambil untuk bekerja bagi tujuan perdagangan atau perniagaan tetapi semata-mata di rumah majikan.
"Kami akan turun padang mencari majikan terlibat supaya mereka tidak lepas tanggungjawab membuat caruman untuk pekerja domestik," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.
Tambah Nora, mereka akan bekerjasama dengan persatuan penduduk, Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Kelantan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kelantan.
Nora meminta majikan yang menggaji pekerja domestik datang ke Pejabat Perkeso berdekatan untuk mendaftar caruman kepada pekerja mereka.
Katanya, kadar caruman yang perlu dibayar oleh majikan dan pekerja domestik bergantung kepada gaji bulanan seseorang pekerja.
"Pekerja domestik juga berisiko terdedah kepada penyakit, kematian dan keilatan. Menjadi tanggungjawab mereka (majikan) untuk melindungi pekerja," katanya.