KEJUTAN Bayern Munich ketika menewaskan Barcelona 2-0 menerusi jaringan dalam tempoh empat minit di babak pertama pada aksi Liga Juara-Juara.
Beraksi di laman sendiri, Bayern membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan, Lucas Hernandez pada minit ke-50, sebelum Leroy Sane meledak empat minit kemudian untuk gol kemenangan.
Bekas penyerang Manchester City itu menjaringkan satu lagi ketika kemenangan 2-0 ke atas Inter Milan pada aksi pembukaan Kumpulan C baru-baru ini.
Sane juga menjadi wira pasukannya ketika Barca cuba menunjukkan kebangkitan selepas babak pertama yang sengit.
Penyerang Jerman itu melambungkan bol melepasi penjaga gol, Marc Andre ter Stegen pada minit ke-54, hanya empat minit selepas tandukan Hernandez meletakkan Bayern di depan hasil sepakan sudut Joshua Kimmich.
Penyerang Barca, Robert Lewandowski yang kembali buat pertama kali ke laman pasukan lamanya, menerima tepukan gemuruh daripada penyokong Bayern ketika sesi memanaskan badan.
"Saya rasa ia perlawanan yang cukup beremosi buat Lewy (Lewandowski). Kepulangan ke halaman pasukan lamanya di mana banyak kejayaan diraih di sini," kata kapten Bayern, Manuel Neuer.
Lewandowski mempunyai beberapa peluang untuk membuka jaringan, tetapi tersasar dan dinafikan oleh Neuer.
Bayern akan bertandang ke Camp Nou untuk aksi di laman Barcelona itu pada 26 Oktober.