KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu penarikan balik Statut Rom.
Menurutnya, beliau berdiri teguh di belakang Dr Mahathir dan menggelar pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menjatuhkan perdana menteri sebagai ‘pengecut sebenar’.
"Mereka yang menggelar Dr Mahathir sebagai pengkhiat kerana menandatangani Statut Rom dan mahu menggulingkannya dengan cara tidak demokratik adalah pengecut sebenar.
ARTIKEL BERKAITAN: Cubaan jatuhkan PM dari golongan pengecut
"Langkah mayat saya dulu sebelum lucutkan Perdana Menteri kita. Perdana Menteri Malaysia,” tulis beliau dalam hantaran Facebooknya.
Semalam, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Menurutnya, ia berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat sambil menegaskan keputusan itu dibuat bukan disebabkan Statut itu membahayakan negara.
Pada 4 Mac lepas, Malaysia menandatangani surat cara untuk menerima Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Wisma Putra dalam kenyataan berkata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC itu pada tarikh berkenaan.
Surat berkenaan kemudian diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.